PASIR PUTEH: Beberapa bekas pemimpin UMNO yang keluar parti diibaratkan seperti 'kemuncup di seluar dalam' yang menyebabkan rasa sangat tidak selesa jika mereka terus bersama parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Jazlan berkata, istilah itu tepat bagi menggambarkan keberadaan ahli yang tidak lagi sebulu dengan haluan parti atau menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, ahli atau parti tidak perlu menangis atau kecewa dengan pemergian pemimpin seperti Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa atau bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
"Yang lepas biar lepas, kita sudah lalui banyak masa, banyak kerajaan tetapi kita kena akui tiada kerajaan sebaik UMNO.
"Annuar dan Noh kita anggap 'kemuncup di seluar dalam, kalau ada buat rasa tak selesa, biarlah mereka tiada," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh Kali ke 30/2024 di Kompleks UMNO Dewan Uthmaniyah, di sini, malam tadi.
Majlis dirasmikan Ahmad Zahid dan dihadiri Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan, Tan Sri Mohamad Fathmi Che Salleh serta Ketua UMNO Bahagian Pasif Puteh, Datuk Zawawi Othman.
Jazlan berkata, kehadiran ahli yang menentang pimpinan tertinggi hanya memecahbelahkan parti dan memberi kesan buruk kepada UMNO.
Beliau berkata, tanggapan bekas pemimpin mengenai Ahmad Zahid tidak benar kerana semua perkara termasuk kerjasama dengan PKR membentuk kerajaan perpaduan atau kerajaan MADANI dibuat atas persetujuan semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
"Menjadi Presiden ketika kita di puncak kuasa tidak payah, tetapi menjadi Presiden ketika kita tiada tempat, bukan mudah.
"Hanya yang faham masih ada dalam parti, yang tak faham yang itulah keluar parti, tetapi yakinlah kita akan bangkit," katanya.
Sementara itu, Zawawi dalam ucapannya memberi tiga kali peringatan kepada ahli perwakilan untuk tidak menjadi 'ejen Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad'.
Katanya, meskipun parti terhutang budi dengan jasa Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri ketika berada bersama UMNO, namun tidak bermakna harus menyokong kedua-dua pemimpin itu sehingga melanggar etika parti.