View: 13066|Reply: 0
|
[Tempatan]
Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dijangka berdepan krisis kekurangan kakitangan sehingga jejas pesakit
[Copy link]
|
|
HOSHAS dijangka berdepan krisis kekurangan kakitangan sehingga jejas pesakit
https://www.bharian.com.my/berit ... ngan-sehingga-jejas
Oleh Saadiah Ismail - Ogos 13, 2024 @ 4:41pm
[email protected]
Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dijangka berdepan krisis kakitangan yang teruk sehingga boleh menjejaskan keselamatan pesakit susulan pemindahan berterusan doktor pelatih ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
KUALA LUMPUR: Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dijangka berdepan krisis kakitangan yang teruk sehingga boleh menjejaskan keselamatan pesakit susulan pemindahan berterusan doktor pelatih ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Situasi akan menjadi lebih parah apabila jabatan perubatan hospital itu akan menghadapi situasi 'sifar' doktor pelatih menjelang akhir bulan ini susulan penggantungan penempatan doktor pelatih baharu di HOSHAS tahun ini.
Menurut seorang doktor pakar di HOSHAS yang mahu dikenali sebagai Dr Rey keadaan bertambah kritikal apabila doktor pentadbiran bukan klinikal kini turut diminta untuk mengambil darah pesakit sebagai pilihan terakhir.
"Penjagaan pesakit sudah terjejas dan menjadi tidak selamat. Menteri Kesihatan perlu campur tangan.
"Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sudah berulang kali dihubungi dengan pelbagai rayuan sejak enam bulan lalu, tetapi jawapannya amat mengecewakan. Kami sudah berada pada had dan tidak fikir kita boleh bertahan lagi," katanya seperti yang disiarkan dalam sebuah portal berita.
Menerusi surat bertarikh 16 Februari 2024, Ketua Jabatan Perubatan Am HOSHAS, Dr See Chee Keong menggesa JKNP untuk mengekalkan pegawai di hospital, dengan mengatakan bahawa pemberhentian penempatan doktor pelatih 'menjejaskan secara langsung' perkhidmatan jabatan perubatan hospital.
Surat itu turut menyatakan bahawa bagi kesinambungan perkhidmatan, jabatan perubatan am memerlukan sekurang-kurangnya 46 pegawai perubatan dan 34 doktor kerana hingga Februari 2024, ia mempunyai 16 pakar (termasuk subpakar), 24 pegawai perubatan, dan 20 doktor.
Dr Rey berkata, kekurangan doktor di jabatan perubatan HOSHAS menyebabkan kelewatan mengambil darah pesakit dan memesan ubat.
"Ubat, termasuk antibiotik, tidak diberikan tepat pada masanya kerana kekurangan kakitangan untuk memasukkan suntikan intravena. Ini adalah krisis yang serius kerana kami hanya boleh menyediakan penjagaan pesakit yang minimum kerana kekurangan kakitangan yang ketara," katanya.
Doktor buat kerja tiga kali ganda sebab tiada doktor pelatih
Sementara itu, pegawai perubatan, Dr Benny (bukan nama sebenar), berkata kekurangan doktor pelatih di seluruh hospital Kementerian Kesihatan (KKM) menyebabkan setiap pegawai perubatan mengendalikan "hampir tiga kali" beban kerja biasa mereka.
"Setiap jabatan melaksanakan pelan kontingensi untuk menangani krisis, seperti menambah pegawai perubatan atas panggilan untuk pengambilan darah dan prosedur, jururawat juga digunakan untuk pengambilan darah dan suntikan intravena.
"Bagaimanapun, pentadbir tidak menyediakan penyelesaian jangka panjang. Kadar keletihan yang tinggi dan semangat yang rendah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga pegawai perubatan meletak jawatan tahun ini selain ada yang mempertimbangkan untuk meninggalkan tugasan ini.
"Pegawai perubatan bekerja sepanjang masa untuk menyelesaikan tugas siang hari. Walaupun telah menghantar surat rasmi kepada JKNP mengenai krisis kakitangan, tiada penyelesaian diberikan.
"Ini telah menjejaskan keselamatan dan kualiti penjagaan pesakit, dengan ujian darah yang kerap dikurangkan dan meningkatkan aduan pesakit tentang kualiti perkhidmatan di SISPAA (saluran aduan KKM)," katanya.
Dalam perkembangan terkini, hospital daerah Jerantut dan Jengka bersedia menghantar pegawai perubatan ke HOSHAS, tetapi ini berpotensi mewujudkan kekurangan kakitangan hospital mereka pula.
Menurut pegawai perubatan di Hospital Jengka, Dr Max (bukan nama sebenar), beliau mengesahkan pegawai perubatan dari unit perubatan am di Hospital Jengka akan berhenti pada awal September, menjadikan pasukan unit perubatan hanya lima orang.
"Menghantar satu pegawai perubatan untuk membantu HOSHAS akan mengurangkan lagi bilangan pegawai perubatan dalam unit kami kepada empat, manakala unit itu sepatutnya mempunyai enam.
"Dengan dua wad menempatkan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 pesakit setiap satu dan tugas tambahan seperti kerja klinik dan rujukan pesakit, kehilangan pegawai perubatan akan menjejaskan penjagaan pesakit," katanya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|