View: 2307|Reply: 0
|
[Tempatan]
Khairy Jamaluddin: Menteri KBS mesti berani berdepan dengan ‘makhluk besar’, mestilah seorang pemimpin yang proaktif dan bukannya bertindak seperti "menteri taichi"
[Copy link]
|
|
Khairy: Menteri KBS mesti berani berdepan dengan ‘makhluk besar’
https://m.malaysiakini.com/news/715544
Diterbitkan: Aug 14, 2024 1:29 PM
Dikemaskini: 1:34 PM
Menteri Belia dan Sukan mestilah seorang pemimpin yang proaktif dan bukannya bertindak seperti "menteri taichi", kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Semasa episod podcast Keluar Sekejap semalam, Khairy, yang juga adalah bekas menteri belia dan sukan, menjelaskan bahawa dia bukan mahu menyekolahkan menteri semasa, Hannah Yeoh.
Bagaimanapun, katanya, Yeoh mesti berani berdepan dengan "makhluk besar" yang dipilih untuk menerajui majlis dan persatuan sukan negara.
“Kalau seorang menteri yang taichi, yang kata ‘ini bukan saya, bukan saya lantik, orang lain yang pilih, Majlis Olimpik Malaysia dipilih melalui undian oleh persatuan sukan, jadi saya tak boleh buat apa-apa,’ saya rasa itu tidak cukup.
“Sebab, kamu adalah menteri.
“Kalau menteri sukan jadi makhluk kerdil dari segi kehadiran dan tidak berani berdepan dengan makhluk besar dalam persatuan sukan ini, maka orang akan pijak kamu.
“Dan alasan kamu adalah ‘saya tak boleh nak buat apa-apa.’
“Saya juga baca kenyataan menteri KBS, dia cakap dia hanya boleh buat apa yang dia boleh kawal.
“Itu tidak cukup baik, “ katanya sebagai respons kepada hantaran Facebook Yeoh pada Isnin (12 Ogos).
Dalam hantaran itu, Yeoh memperincikan jenis pelantikan dalam landskap sukan negara, sambil menjelaskan bahawa dia tidak berada dalam kedudukan untuk memecat mereka yang tidak dilantiknya.
“Walaupun beberapa jawatan, seperti dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dipilih oleh ahli mereka, yang lain dilantik terus oleh menteri.
“Mereka yang dipilih oleh orang lain, saya tidak mempunyai kuasa untuk singkirkan.
“Itu dilakukan melalui proses demokrasi, dan kita mesti menghormatinya. Saya hanya boleh mengeluarkan mereka yang saya lantik,” jelasnya.
Kenyataan Yeoh dibuat ketika kontroversi yang menyelubungi Presiden MOM Norza Zakaria selepas keluarganya dirakamkan hadir menonton Sukan Olimpik Paris 2024 dengan kad akreditasi mereka diedarkan di media sosial.
Mengulas lanjut, Khairy mengakui sukar untuk mengawal "taikor" (abang besar) yang mengetuai persatuan sukan.
Bagaimanapun, dia mengingatkan Yeoh bahawa majlis dan persatuan bebas ini masih bergantung kepada kementerian kerana majoriti dana datang daripada kerajaan.
“Persatuan sukan seperti bola sepak, badminton, basikal... dipimpin oleh taikor hebat. Sama ada bekas ahli politik atau ahli politik yang gagal, atau orang perniagaan.
“Bukan senang nak kawal mereka ini. Kalau anda tidak sanggup kotor tangan dan berhadapan dengan mereka.
“Jika diteruskan sebagai Menteri KBS, dia kena berani mempertaruhkan diri dan jangan kata ‘oh, ini bukan bidang saya, ini orang lain yang pilih’ dan sebagainya. Saya seru persatuan sukan pilih pemimpin yang terbaik.
“Tidak! Jadikan ia berlaku. Jadikan ia berlaku. Walaupun tidak boleh ada campur tangan kerajaan dalam persatuan sukan, tetapi ada banyak cara,” katanya.
Pengacara bersama Khairy, bekas ketua penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, pula berkata menteri sukan penting untuk dilihat menghadiri Sukan Olimpik.
“Kamu bukan sahaja harus berada di sana tetapi juga dilihat berada di sana. Kamu mesti dilihat sebagai seseorang yang mempunyai daya dan kesan positif pada keseluruhan mood.
"Jika kamu hanya seorang pemimpin yang 'dunia berlaku kepada kamu', maka ada risikonya.
“Jika tersilap langkah, ambik gambar dengan orang yang salah, maka kamu akan dikecam,” kata Shahril.
Prestasi sederhana
Dalam hal berkaitan, Khairy mempertahankan prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Baginya, keputusan keseluruhan bukan kegagalan mahupun mala petaka.
Katanya, dua pingat gangsa yang dibawa pulang dari Paris 2024, dari segi bilangan dan bukannya warna atau pingat, adalah sederhana atau purata.
Dia berkata kiraan pingat itu adalah setanding dengan prestasi Malaysia semasa di Atlanta 1996, London 2012, dan Tokyo 2020.
“Jadi dua tu agak average la.
“Yang luar biasa itu, lebih dari average, di (Rio) 2016. Lima pingat.
“Dari segi prestatsi kita, prestasi tak boleh dicerminkan dengan dua gangsa. Terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil daripada prestasi Malaysia di Paris," katanya.
Semalam, Yeoh memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia selepas kontinjen negara gagal membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara.
Katanya, program Road To Gold (RTG) bukanlah satu kegagalan tetapi masih belum berjaya kerana ia merupakan rancangan jangka panjang yang dilaksanakan untuk dua Sukan Olimpik - Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Tambahnya, jawatankuasa RTG akan bermesyuarat dan menerima laporan teknikal daripada semua pasukan untuk menilai prestasi atlet dan menyediakan laporan teraudit mengenai perbelanjaan program.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|