Antara wanita warga asing yang diperiksa dan ditahan kerana disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Imigresen 1963/59. - FOTO NSTP/Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
KUALA LUMPUR: Seramai 107 wanita warga China disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan 'gred A' ditahan dalam serbuan di empat premis pusat karaoke (KTV) di Jalan Raja Chulan, hari ini.
Pengunjung yang dahagakan belaian manja gadis-gadis pelayan terbabit dipercayai dikenakan bayaran bermula RM1,000 hingga mencecah RM20,000 untuk layanan tahap 'VIP'.
Premis yang berselindung di sebalik sebuah menara pejabat 21 tingkat itu mengenakan caj tempahan bilik karaoke bermula RM4,500 sehingga RM30,000 bergantung kepada saiz bilik dan lain-lain perkhidmatan.
Difahamkan semua premis terbabit memiliki pemilik berbeza dan semuanya hanya melayan pelanggan yang membuat tempahan manakala mereka yang datang secara terus tidak diendahkan.
Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati sebilangan besar pengunjung di semua premis terbabit merupakan lelaki warga asing.
Bagaimanapun, cubaan wartawan untuk menemubual wanita warga asing terbabit gagal berikutan semua mereka yang ditemui mendakwa tidak memahami Bahasa Malaysia mahupun Inggeris.
Pemeriksaan di beberapa bilik di premis terbabit turut menemui sejumlah kondom yang disyaki digunakan bagi kegiatan tidak bermoral.
Serbuan dijalankan Imigresen KL
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha, berkata serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bermula 12.45 tengah malam tadi.
Menurutnya, serbuan dijalankan hasil risikan selama dua bulan susulan aduan awam berhubung kegiatan tidak bermoral membabitkan warga asing di premis berkenaan.
"Malam ini kita periksa 300 orang di mana 213 ditahan berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
"Antara ditahan adalah 12 lelaki tempatan, dua wanita tempatan, lelaki China (79), wanita China (107), lelaki Kemboja (dua) dan lelaki Hong Kong (dua)," katanya pada sidang media di lokasi operasi, hari ini.
Turut hadir pada operasi itu Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff serta sejumlah pegawai daripada JIM Melaka sebagai bantuan sokongan.
Jafri berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya percaya wanita terbabit bertugas sebagai GRO di KTV berkenaan.
Siasatan awal juga mendapati premis terbabit baru beroperasi sejak lima bulan lalu berdasarkan pengakuan lisan beberapa individu dan keadaan bilik yang masih diubahsuai.
"Kita akan siasat dengan lebih lanjut, setakat ini kita percaya wanita ini dibawa masuk dari luar (premis) kerana tiada bilik (tempat tinggal) ditemui dalam premis yang diperiksa.
"Keseluruhannya, seramai 213 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya.