TIONG
BINTULU: Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing melahirkan kekesalan dengan senario banjir di Sibu yang semakin buruk dan seakan-akan tiada penyelesaian sampai sekarang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, isu banjir kilat di Sibu sudah diutarakan banyak kali, namun pihak berkaitan masih belum menemui jalan penyelesaian hingga sekarang.
"Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah kenapa sesetengah pihak seakan-akan hanya mampu melihat sahaja tanpa berbuat apa-apa dan berpura-pura tiada apa-apa yang berlaku," jelasnya dengan nada kecewa dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, pihak berwajib yang sepatutnya menguruskan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi banjir di Sibu dilihat gagal menyelesaikan isu banjir di bahagian berkenaan.
Tiong berkata setiap jabatan atau agensi berkaitan jangan terlalu selesa sekadar duduk dalam bilik berhawa dingin dan mengharapkan masalah itu akan selesai dengan sendirinya.
"Saya telah menekankan beberapa kali bahawa adalah penting bagi menjalankan kerja-kerja mengorek serta mendalamkan dasar sungai supaya aliran air lancar sekali gus menangani peningkatan mendadak paras sungai," ujarnya.
Bagaimanapun tegasnya, pihak berkaitan seakan-akan masih menutup mata dan memekakkan telinga seolah-olah tindakan yang bakal diambil tidak akan mengubah apa-apa, melainkan hanya berharap kepada hukum alam semata-mata.
Justeru, beliau berharap agar semua ketua jabatan yang berkaitan memandang serius akan impak banjir yang berterusan saban hari dan tahun kepada penduduk Sibu.
|