OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman supaya api tidak merebak ke rumah berhampiran.
SEMPORNA: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Bukit Lalang, di sini musnah dalam kebakaran, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.51 petang.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai termasuk daripada BBP Atas Air Semporna digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal sudah musnah terbakar dan operasi memadam terus dijalankan.
“Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan dua pancutan dari sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, semua mangsa berjaya keluar dari rumah berkenaan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwan dilaporkan berlaku.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.06 malam.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.
|