KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkali-kali dan berterusan mendakwa namanya bukan Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty seperti didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada tahun 2017.
Kata bekas Perdana Menteri itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebenarnya telah menipu berkaitan dakwaan tersebut kononnya beliau memiliki atau melihat kad pengenalan biru menyatakan namanya mempunyai bin Iskandar Kutty.
Dalam pada itu, ketika memberikan keterangannya, Tun Dr Mahathir mendakwa, dakwaan Ahmad Zahid di hadapan ahli-ahli UMNO kononnya beliau umpama ‘habis madu sepah dibuang’ itu tidak betul sama sekali.
“Saya nafikan perkara itu. Tindakan Ahmad Zahid mendakwa nama saya ialah Dr Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty ini sebenarnya satu ciptaan palsu untuk memburukkan imej saya. Jika betul adanya kad pengenalan biru yang didakwanya itu, tunjuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbicaraan saman olehnya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tun Dr Mahathir yang ketika ini usianya mencecah 99 tahun selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid sebagai defendan kerana mengeluarkan kenyataan palsu berbaur fitnah dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017. MalaysiaGazette
|