MIRI: Karnival makanan Taste of Borneo 3.0 bukan hanya menampilkan kepelbagaian makanan tetapi pada edisi kali ini ia akan membawa kepelbagaian kebudayaan untuk tatapan pengunjung.
Pengerusi penganjur yang juga Naib Presiden Persatuan Cina Sarawak (SCA) Harry Lee memberitahu, edisi kali ini akan membawa masuk makanan dari Brunei, Sabah dan Indonesia.
"Selama 12 hari bermula 30 Oktober hingga 10 November, kita akan menampilkan persembahan kebudayaan yang berbeza untuk mendedahkan kebudayaan sebenar Sarawak kepada pengunjung," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pihaknya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini untuk mempelawa pemimpim nombor satu Sarawak ini merasmikan karnival pada 2 November akan datang.
Harry berkata, ia bukan hanya jualan gerai seperti kebiasaannya kerana kali ini ia lebih menampilkan kebudayaan dan pihaknya telah mempelawa penyertaan dari Brunei, Sabah dan Indonesia.
"Kita percaya pengunjung ingin mencuba makanan dari Brunei, Sabah dan Indonesia serta kebudayaan mereka dan inilah kelainan yang ingin kita bawa kali ini," jelasnya.
Karnival itu telah mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta agensi kerajaan tempatan.
Cita rasa makanan yang diketengahkan dalam karnival itu akan menjadi lebih lengkap dengan adanya penyertaan daripada ketiga-tiga tempat itu yang turut berada dalam kepulauan Borneo.
Penganjur berjaya menghasilkan rekod Malaysia Book of Records pada karnival 2.0 tahun lalu dengan menampilkan persembahan tarian kebudayaan tanpa henti selama lima jam.
Aktiviti kali ini akan diadakan di pekarangan tempat letak kereta pusat beli-belah Boulevard selama 12 hari bermula 30 Oktober hingga 10 November.
Beliau memberitahu, dengan tema 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian' 19 persatuan etnik dan kaum di sini telah dijemput untuk mengambil bahagian menjual pelbagai juadah enak dan istimewa untuk dinikmati bersama pengunjung.
Hadir sama Presiden SCA Ting Pang Soon dan Setiausaha Projek Caroline Siburat.
|