Kemalangan di Jalan Narasit, Bintangor yang telah menyebabkan pemandunya tercedera.
BINTANGOR: Seorang lelaki patah tangan apabila kereta dipandunya terbabas dan masuk ke dalam parit di Jalan Narasit, dekat sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 9.08 malam.
Susulan itu katanya, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kemalangan yang terletak 20 kilometer dari balai.
“Ketika sampai di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati kenderaan yang dinaiki oleh mangsa yang berusia 30 tahun telah terbabas di bahu jalan dalam keadaan terbalik.
“Dalam masa yang sama juga, pemandu kenderaan tersebut masih lagi terperangkap di dalam kenderaan dan berdasarkan situasi tersebut, pasukan bomba telah bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan terbabit,” katanya kepada media, hari ini.
Usaha mengeluarkan mangsa dari kenderaan telah mengambil masa 24 minit.
Menurut Nicholas, setelah berjaya dikeluarkan dari kenderaan, mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa telah mengalami kecederaan patah tangan kanan.
“Setelah memastikan keadaan di lokasi kemalangan selamat dan tiada mangsa lain, pasukan bomba terbabit telah bertolak balik semula ke balai,” katanya lagi.
|