CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3008|Reply: 0

[Sarawak] Kemampuan Sarawak jadi Bateri ASEAN, hab tenaga hijau serantau bukan retorik

[Copy link]
Post time 29-8-2024 01:32 PM | Show all posts |Read mode


Awang Tengah melakukan simbolik perasmian pada Persidangan Serantau Asia-Pasifik mengenai Pemulihan Landskap Hutan 2024 hari ini. Turut kelihatan Len, Hamden serta tetamu kehormat lain. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kemampuan Sarawak untuk menjadi  Bateri ASEAN dan hab tenaga hijau serantau bukan sekadar retorik atau fantasi semata-mata.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana Sarawak mempunyai sumber yang diperlukan dan sedang giat ke arah merealisasikan visi tersebut.

"Komitmen kita (Sarawak) yang tidak berbelah bahagi terhadap kemampanan jelas tercermin dalam Inisiatif Ekonomi Hijau kita yang komprehensif.

"Dengan melabur secara strategik dalam pengurusan hutan mampan dan portfolio tenaga diperbaharui yang pelbagai, termasuk tenaga hidro, solar, biojisim, biofuel dan hidrogen, kita sedang membina masa depan yang berdaya tahan dan rendah karbon sebagai peneraju dalam pengurusan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Serantau Asia-Pasifik mengenai Pemulihan Landskap Hutan 2024 anjuran Jabatan Hutan Sarawak (FDS) dan Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) di sini, hari ini.

Awang Tengah mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi merasmikan persidangan bertemakan 'Hutan Sebagai Juara Iklim: Memanfaatkan Pemulihan Untuk Ketahanan Global' atau ‘Forests as Climate Champions: Harnessing Restoration for Global Resilience’ yang berlangsung selama tiga hari mulai semalam (27 Ogos).

Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.

Usaha Sarawak dalam pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) dan penerokaan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) katanya, membuktikan komitmen mereka terhadap kemampanan alam sekitar dan transformasi ekonomi.

"Dengan mengadaptasi teknologi terkini, Sarawak bukan sahaja mengurangkan kesan perubahan iklim tetapi juga mewujudkan industri baharu dan pekerjaan berkualiti tinggi.

“Tindakan kita membuktikan bahawa masa depan yang mampan bukan sahaja dapat dicapai tetapi juga memberi manfaat ekonomi," katanya.

Tambahan pula di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ujarnya, Kerajaan Sarawak mahu sektor perhutanan negeri ini diiktiraf di peringkat global dalam pengurusan mampan hutan tropika dan pemuliharaan biodiversiti sekali gus meningkatkan pertumbuhan industri kayu balak.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak telah meminda Kanun Tanah dan Ordinan Hutan pada 2022 bagi membolehkan aktiviti karbon dan inisiatif CCUS.

“Kemudiannya, kita turut meluluskan Rang Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023, undang-undang pertama seumpamanya di negara ini bagi memperkukuhkan lagi kelestarian alam sekitar.

“Inisiatif yang telah kita lakukan ini mendorong komitmen kukuh untuk membangunkan ekonomi hijau dan meletakkan kita pada landasan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

"Usaha ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi negara tetapi juga meletakkan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam amalan mampan,” jelas Awang Tengah.

Terdahulu, Pengarah JHS Datu Hamden Mohammad berkata, persidangan serantau Asia-Pasifik itu bertujuan mengenal pasti dan memperkukuhkan amalan baik dalam pemulihan landskap hutan yang memberikan manfaat  kepada komuniti tempatan.

Ia juga katanya, untuk memenuhi komitmen antarabangsa berkaitan hutan serta membantu menguruskan dan memastikan landskap hutan yang sihat.

“Sebanyak 18 kertas kerja merangkumi pelbagai disiplin akan dibentangkan oleh pakar dan pihak berkepentingan dari Malaysia, Jepun, Indonesia, China, New Zealand, Thailand, Vietnam, Belanda, dan negara-negara lain,” katanya.

Menurutnya lagi, Restorasi Landskap Hutan (FLR) telah menjadi asas agenda alam sekitar Sarawak sejak Mac 2019.

“Sarawak mempunyai sejarah panjang dalam kerjasama dengan organisasi antarabangsa dalam usaha pengurusan hutan mampan.

“Kita telah bekerjasama dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF), ITTO, Agensi Kerjasama Teknikal Jerman (GTZ) dan lain-lain.

“Kerjasama ini telah memainkan peranan penting dalam membentuk pendekatan kita terhadap pemulihan landskap hutan,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengarah Hutan Sarawak (JHS) Datu Hamden Mohammad serta Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Abdullah Julaihi.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 06:10 AM GMT+8 , Processed in 0.284594 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list