Pasukan penyelamat bergerak ke lokasi menggunakan bot PDRM melakukan operasi pencarian mangsa. - Gambar JBPM
DALAT: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas insiden perlanggaran antara bot laju dan perahu di Batang Oya dekat sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, mangsa dikenali Dos Katek, berumur 80 tahun.
Katanya, perlanggaran antara sebuah bot laju dan sebuah perahu itu dipercayai berlaku jam 9.42 pagi di kawasan antara Kampung Sua dan Kampung Klid, Batang Oya dekat sini.
Susulan itu katanya, dua anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah serta sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Difahamkan mangsa terkena bahagian hadapan bot laju dan terjatuh ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat bergerak ke lokasi dengan menaiki bot Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan anggaran masa perjalanan kira-kira satu jam 30 minit.
Operasi mencari dan menyelamat kini sedang diteruskan untuk mencari mangsa yang masih belum dijumpai.
Dalam operasi tersebut, PDRM mengerahkan lima anggota dalam usaha mencari mangsa.
|