Edited by Vellfire at 3-9-2024 01:44 PM
Hati-hati lalui jalan/laluan Rembus-Stutong, Kuching Sentral-Pending berikutan aktiviti pembinaan sekarang
Infografik menunjukkan jalan yang terjejas dari Rembus ke Stutong. - Gambar Facebook Sarawak MetroKUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika melalui jalan/laluan dari Rembus ke Stutong dan dari Kuching Sentral ke Pending berikutan aktiviti pembinaan yang sedang berjalan.
Dalam notis yang dimuat naik di laman Facebooknya, Sarawak Metro memberitahu bahawa aktiviti pembinaan ini adalah sebahagian daripada Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1 dan ia bermula dari 1 September 2024 hingga 30 November 2024.
Tempoh kerja adalah selama 90 hari sehingga diberitahu kelak dan kerja-kerja akan dijalankan setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan 7 malam hingga 5 pagi.
Jalan-jalan yang terjejas termasuk Jalan Kampung Plaie, Jalan Datuk Mohammad Musa dan Expressway Kuching-Samarahan dari laluan Rembus ke Stutong dan Jalan Lapangan Terbang, Jalan Tun Jugah, Jalan Simpang Tiga, Jalan Tun Razak, Jalan Datuk Marican Salleh, Jalan Chong Ted Tsiung dan Jalan Wan Abdul Rahman (dari Kuching Sentral ke Pending).
Infografik menunjukkan jalan raya terjejas dari Kuching Sentral ke Pending. - Gambar Facebook Sarawak Metro
Sarawak Metro berkata, aktiviti pembinaan itu melibatkan penebangan pokok, mengangkut bahan 'tidak sesuai', memuat dan memunggah bahan binaan, menaik taraf jalan serta kerja pelebaran dan pembinaan lubang percubaan.
“Sila patuhi semua langkah pengurusan lalu lintas, papan tanda amaran jalan dan had laju untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan pekerja binaan.
"Sarawak Metro Sdn Bhd akan memaklumkan kepada orang ramai jika terdapat sebarang perubahan dalam tempoh aktiviti pembinaan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya. Sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali," kata kenyataan itu.
Orang ramai boleh memberi maklum balas mengenai aktiviti pembinaan ini dengan menghubungi Talikhidmat di talian 082-555999 atau e-mel ke [email protected].
Sarawak Metro adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), diamanahkan oleh Kerajaan Sarawak untuk memodenkan sistem pengangkutan awam di bandar raya ini melalui projek KUTS.
Aspek utama projek KUTS ialah pengenalan kenderaan hidrogen Autonomous Rapid Transit (ART), yang akan dikendalikan di laluan khusus, kebanyakannya berada di gred (paras jalan) dengan beberapa bahagian bertingkat.
|