JUNIK
TENOM: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tenom menekankan kepentingan aspek pendidikan dan pemerkasaan ekonomi dalam usaha membasmi kemiskinan khususnya di kawasan Malalap di sini.
Ketua Bahagian UPKO Tenom Junik Bajit berkata, biarpun ramai yang datang dan pergi, pihaknya terus menggunakan tenaga, masa, serta sumber yang terhad untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebagai seorang pendidik berpengalaman selama 36 tahun, pendidikan kekal sebagai keutamaannya.
“Keutamaan saya ialah pendidikan dan selama 36 tahun sebagai seorang guru, ia mengajar saya betapa pentingnya pendidikan dalam membasmi kemiskinan,” katanya ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya UPKO bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang dirasmikan oleh Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick pada Sabtu lalu.
Junik turut menggariskan beberapa inisiatif pendidikan termasuk bantuan kepada 23 sekolah rendah, bantuan pendidikan awal kepada lebih 60 pelajar universiti, bantuan permulaan sekolah kepada 690 pelajar, serta pengagihan 60 hingga 70 kerusi roda dan katil pesakit.
Selain itu katanya, inisiatif lain antaranya pemberian kalkulator percuma kepada pelajar, serta sumbangan RM30,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom untuk program kecemerlangan akademik yang menjadikan PPD Tenom sebagai salah satu yang terbaik di Sabah.
Beliau juga menekankan usaha UPKO untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi di Melalap melalui penubuhan koperasi di Tenom.
Menurutnya, kepentingan penambahbaikan infrastruktur pertanian, khususnya jalan raya dan bekalan air bagi menyokong petani tempatan juga inisiatif yang penting.
Dalam usaha untuk memelihara bahasa etnik, Junik turut menerajui projek rintis yang mempromosikan bahasa Murut dengan melancarkan kelas bahasa Murut secara percuma setiap Sabtu bermula di Malalap.
Sementara itu, Ketua Penerangan UPKO Dr Peter Jr Naintin berkata, keahlian UPKO Melalap menunjukkan peningkatan ketara, kini mencatatkan 2,800 ahli, dengan 1,850 ahli baharu mendaftar pada Sabtu lalu.
Menurutnya, lonjakan itu turut disertai dengan penyerahan borang keahlian daripada 20 cawangan baharu, yang dihadiri lebih 600 penyokong UPKO di kawasan Melalap.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa UPKO sedang mengintai kerusi DUN Melalap dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Sehubungan itu jelasnya, jentera pilihan raya UPKO sudah bersiap sedia untuk menghadapi cabaran dalam kerusi yang dijangka hangat itu.
|