SERAH: Suhairi (kiri) menyampaikan Malaysian Orchid Golden Gift Box kapada Anwar.
SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatannya ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2024) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini semalam dengan pelbagai cenderamata daripada pempamer termasuk Malaysian Orchid Golden Gift Box, dipercayai sebagai cenderamata pertama diterimanya.
Dua kuntum bunga Orkid Malaysia dalam kotak emas berkilat itu disampaikan kepada Anwar oleh Pengarah Urusan Orchidmas Sdn. Bhd., Suhairi Sulaiman selepas pelancaran MAHA 2024.
Suhairi berkata, kotak orkid yang ditempah oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman itu disampaikan khas kepada Anwar sebagai penghargaan kepada isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah berserta sekeping kad bertulis 'To My True Love, Wan Azizah'.
“Idea kad itu yang juga diilhamkan oleh Suhaili turut tercatat kata-kata Setiap saat bersamamu, Cinta teragung buatku. Isteriku Wan Azizah.
"Kami ingin mempopularkan orkid Malaysia sebagai cenderamata untuk pelbagai tujuan termasuk hadiah ulang tahun kelahiran, perkahwinan atau hadiah korporat,” katanya.
Suhairi berkata, syarikatnya turut menaja sebuah Terowong Orkid yang dihiasi 500 pokok orkid spesies Mokara sebagai tarikan istimewa kepada pengunjung MAHA 2024.
Beliau berkata, bersempena acara sambutan 100 tahun MAHA serta pelancaran acara khas segmen antarabangsa, MAHA GO GLOBAL, Orchidmas telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Singularity Aerotech Asia Sdn. Bhd., penyedia sistem pertanian pintar, bagi membangunkan sistem berkenaan untuk Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) yang memfokuskan kepada pengeluarandan pengekportan Malaysian Orchid Golden Gift Box ke pasaran Dubai dan negara-negara lain di kawasan Timur Tengah.
LEOD, sebuah projek rintis di bawah Jabatan Pertanian Malaysia, kini mempunyai tiga ladang orkid dengan keluasan lebih 150 ekar di Lukut, Linggi dan Sepang.
|