|
TANGKAP layar video tular memaparkan seorang lelaki membaling topi keledar ke arah sebuah kereta. FOTO tular
Johor Bahru: Tindakan lelaki membaling topi keledar ke arah sebuah kereta yang sedang bergerak di Jalan Tun Razak, di sini, adalah untuk menghalang penjenayah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berumur 26 tahun itu adalah pemilik kedai telefon bimbit yang disamun suspek sebelum melarikan diri menaiki Perodua Myvi.
Katanya, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada 16 September lalu, jam 5.30 petang berhubung kejadian itu.
"Mangsa cuba menghalang suspek dengan bertindak membaling topi keledar ke arah kereta, mangsa kemudian tampil ke balai polis untuk membuat laporan.
"Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa seorang lelaki menyamun kedainya dengan anggaran kerugian RM5,000.
"Polis kini giat mengesan suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu tular, video berdurasi 18 saat memaparkan seorang lelaki membaling topi keledar dari tepi jalan ke arah sebuah kereta yang sedang bergerak laju.
Bagaimanapun topi keledar itu tidak mengenai kereta terbabit.
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|