View: 31353|Reply: 3
|
[Tempatan]
#1, #3, Lim Guan Eng ‘janji’ projek terowong secara rundingan terus, kata ahli perniagaan/saksi. #4, Saksi dakwa Lim Guan Eng akan beri projek terowong jika atur MoU dengan syarikat China
[Copy link]
|
|
Edited by EJALTI at 2-10-2024 10:33 AM
Guan Eng ‘janji’ projek terowong secara rundingan terus, kata ahli perniagaan
https://www.freemalaysiatoday.co ... ta-ahli-perniagaan/
Ho Kit Yen
02 Oct 2024, 02:33 PM
Zarul Ahmad Zulkifli berkata Lim Guan Eng menawarkan projek terowong dasar laut kepadanya sebagai balasan untuk mengatur satu MoU dengan perdana menteri China.
Zarul Ahmad Zulkifli berkata janji itu dibuat oleh bekas ketua menteri Pulau Pinang sekitar Mac 2011.
KUALA LUMPUR: Saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa bekas ketua menteri Pulau Pinang itu pernah berjanji akan memberikan projek tersebut kepada syarikatnya secara rundingan terus.
Ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli, mendakwa janji itu dibuat sekitar Mac 2011 dan beliau memaklumkan perkara itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika kenyataannya dirakam tujuh tahun kemudian.
Saya beritahu mereka Lim berkata jika saya boleh mengatur untuk satu MoU (memorandum persefahaman) ditandatangani dengan perdana menteri China, beliau akan menganugerahkan saya projek terowong itu melalui rundingan terus, kata Zarul.
Zarul berkata beliau turut memaklumkan SPRM butiran terperinci wang yang didakwa dibayar kepada Lim semasa siasatan badan itu terhadap Lim sedang berjalan.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak memberikan ‘keseluruhan cerita’ ketika kenyataannya dirakam dalam siasatan kes penipuan membabitkan seorang lagi ahli perniagaan, G Gnanaraja.
Lim dibicarakan atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut dan menerima RM3.3 juta sebagai suapan daripada Zarul.
Beliau juga menghadapi dua pertuduhan salah guna melibatkan tanah bernilai RM208.7 juta milik kerajaan negeri daripada dua syarikat.
Lim berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan.
Lim juga didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu.
Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Mahkamah turut akan memutuskan sama ada membenarkan pihak pendakwaan memanggil pegawai penyiasat, Ng Heng Jun, yang menyiasat Gnanaraja berhubung kes penipuan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ng adalah pegawai yang dikatakan mengarahkan Zarul untuk ‘memberi kenyataan berasingan’ bagi kes Gnanaraja dan Lim.
Beliau berkata, keterangan Ng diperlukan untuk menyokong dakwaan Zarul.
Peguam Tiara Katrina Fuad, yang mewakili Lim, berkata Ng tidak dinamakan sebagai pegawai perakam yang mengambil kenyataan Zarul.
Beliau tidak mempunyai pengetahuan secara peribadi tentang apa yang berlaku (semasa rakaman kenyataan), katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi akan bersambung pada 9 Okt.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Saksi dakwa Guan Eng janji beri projek secara rundingan terus
https://www.kosmo.com.my/2024/10 ... ra-rundingan-terus/
Oleh NORLIZAH ABAS
2 Oktober 2024, 2:57 pm
Guan Eng
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Lim Guan Eng pernah menjanjikan projek terowong dasar laut Pulau Pinang diberikan kepada seorang ahli perniagaan melalui rundingan terus jika beliau berjaya mengatur majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat di China.
Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli mendakwa, beliau dijanjikan demikian oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu jika kerajaan negeri memeterai MoU dengan dengan Beijing Urban Construction Group (BUCG) yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri China ketika itu.
Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) iaitu syarikat usaha sama dengan BUCG yang dilantik bagi menjalankan projek tersebut.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Guan Eng ketika dalam kereta untuk menghantar pemimpin DAP itu pulang ke destinasinya.
Pada prosiding hari ini, ahli perniagaan itu turut berkata, beliau memaklumkan butiran terperinci berhubung pemberian wang kepada Guan Eng ketika disoal siasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah terowong dasar laut.
Ujarnya, dalam siasatan tersebut, wang itu diserahkan melalui cek kepada Guan Eng.
Mahkamah sedang mendengar prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang merupakan saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.
Kredibiliti saksi utama pendakwaan itu dicabar selepas kenyataan yang diberikannya ketika siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng walhal kedua-dua kes melibatkan siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 9 dan 10 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE |
|
|
|
|
|
|
|
Saksi dakwa Lim akan beri projek terowong jika atur MoU dengan syarikat China
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mou-dengan-syarikat
Disiarkan pada: Oktober 2, 2024 @ 4:58pm
LIM Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) mendakwa, Lim Guan Eng akan memberinya Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang secara rundingan terus, jika beliau dapat mengaturkan satu majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat dari China.
Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini, bahawa Lim menyatakan, projek tersebut akan diberikan kepada beliau sekiranya majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri China.
"Lim memaklumkan perkara itu di dalam kereta semasa saya menghantarnya pulang pada awal Mac 2011. Selain itu, dalam keterangan saya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes G Gnanaraja, saya ada cerita pasal peranan YB Lim Guan Eng dan pegawai-pegawainya untuk membantu saya mendapatkan projek ini (projek terowong)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa prosiding bagi mencabar kredibilitinya yang didakwa telah memberikan keterangan bercanggah kepada SPRM dan di mahkamah berhubung kes penipuan ahli perniagaan itu membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes rasuah projek tersebut.
Pada 24 Mac 2022, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Lim berasa gembira apabila majlis MoU antara kerajaan negeri dengan Beijing Urban Construction Group (BUCG) berhubung projek mega berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu yang bernilai RM6.34 bilion, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan China.
Zarul Ahmad berkata, beliau telah menerima panggilan telefon sekitar 2011 daripada Lim memaklumkan bahawa Wen Jiabao, yang ketika itu Perdana Menteri China dan Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu Perdana Menteri Malaysia, akan menghadiri majlis menandatangani MoU yang diadakan di Putrajaya pada 28 April 2011, yang turut dihadiri Lim.
Ditanya Wan Shaharuddin, adakah Zarul Ahmad ada menyatakan mengenai isu 10 peratus semasa memberi keterangan kepada SPRM, Zarul Ahmad menjawab: "Tidak, saya diarahkan untuk asingkan (keterangan) mengenai pemberian wang bagi kes Gnanaraja dengan kes YB Lim Guan Eng".
Menjawab soalan Wan Shaharuddin, Zarul Ahmad mengesahkan bahawa seorang pegawai penyiasat SPRM memberitahunya tentang siasatan khas yang dijalankan berhubung kes rasuah membabitkan Lim.
Beliau juga menyatakan telah memberikan keterangan secara terperinci kepada SPRM mengenai kes tersebut.
Wan Shaharuddin: Dalam keterangan anda bagi siasatan kes Gnanaraja, pernah tak anda beritahu yang duit tidak pernah diberi langsung kepada Lim Guan Eng?
Zarul Ahmad menjawab "Tidak".
Terdahulu, Wan Shaharuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk memanggil pegawai penyiasat SPRM Ng Weng Jun, yang menjalankan siasatan berhubung kes Gnanaraja, bagi menyokong keterangan Zarul Ahmad dalam prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi tersebut.
"Saksi ini relevan untuk dipanggil kerana Zarul Ahmad ada menyebut nama Ng dalam prosiding mencabar kredibilitinya.
"Sekiranya pegawai penyiasat itu dipanggil, beliau dapat memaklumkan kepada mahkamah sama ada betul atau tidak beliau meminta Zarul Ahmad untuk memisahkan keterangan mengenai Gnanaraja daripada keterangan mengenai Lim Guan Eng," katanya.
Sementara itu, peguam, RSN Rayer yang mewakili Lim membantah permohonan tersebut dengan alasan bahawa Ng bukan pegawai penyiasat yang merakam percakapan Zarul Ahmad dalam siasatan kes Gnanaraja.
Hakim Azura Alwi menetapkan 9 Oktober untuk membuat keputusan mengenai permohonan itu serta prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek yang sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara jam 12.30 tengah malam dan jam 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.-Bernama |
|
|
|
|
|
|
| |
|