CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 32234|Reply: 1

[Tempatan] Status kerakyatan warga asing berkahwin penduduk tempatan selepas bercerai, ini penjelasan menteri

[Copy link]
Post time 16-10-2024 07:39 PM | Show all posts |Read mode

Status kerakyatan warga asing berkahwin penduduk tempatan selepas bercerai, ini penjelasan menteriMuhammad Yusri Muzamir
[email protected]
October 16, 2024 @ 5:05pm




Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA



KUALA LUMPUR: Warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan sudah melepaskan status kerakyatan asalnya, tidak akan berdepan risiko dilucut kewarganegaraan Malaysia, jika bercerai kurang dari dua tahun dari tempoh permohonan berkenaan diluluskan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini kerana individu terbabit dilindungi kaveat mengenai pelucutan kewarganegaraan sedia ada yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kaveat berkenaan termaktub dalam Perkara 26B(2), iaitu tiada individu boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25 perenggan (b) Fasal (1) Perkara 26, atau Perkara 26A jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa akibat daripada pelucutan itu dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara.

I
"Maksudnya individu yang dipertimbangkan untuk pelucutan kewarganegaraan, dalam fasal Perlembagaan ada satu peruntukan lagi menyebut, jika mereka tidak memiliki apa-apa kerakyatan, maka ia tidak boleh dilakukan," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan pelbagai pihak termasuk aktivis mengenai risiko wanita warga asing yang berkahwin rakyat tempatan tidak memiliki mana-mana kerakyatan, jika bercerai kurang dua tahun selepas mendapat kewarganegaraan Malaysia.


Kebimbangan itu timbul susulan cadangan pindaan Perkara 26(2) Perlembagaan yang akan menukarkan perkataan 'dalam tempoh dua tahun mulai tarikh perkahwinan' kepada 'dalam tempoh dua tahun selepas mendapat kewarganegaraan'.

Memperincikan rasional pindaan itu, Saifuddin berkata, ia dibuat kerana tidak akan berlaku sama sekali bagi wanita warga asing mendapat kewarganegaraan selepas dua tahun berkahwin dengan rakyat tempatan.
"Ini kerana, prosesnya ialah lima tahun selepas wanita warga asing berkahwin dengan rakyat tempatan akan mendapat visa pasangan, diikuti permit masuk pada tahun keenam dan dokumen ini perlu dipegang selama dua tahun.


"Mereka hanya boleh memohon kewarganegaraan selepas tahun kelapan berkahwin dengan rakyat tempatan.
"Jika proses mendapatkan kerakyatan pun mengambil tempoh selama lapan tahun, maka wajar peruntukan asal dipinda kepada dua tahun selepas mendapat kewarganegaraan," katanya.


Sementara itu, Saifuddin berkata, kaveat baharu mengenai rakyat tempatan yang mahu melepaskan kewarganegaraan secara sukarela akan diperkemas, sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat.


"Pindaan ini akan memasukkan syarat tambahan kepada individu terbabit supaya mereka bebas daripada bebanan percukaian serta tiada implikasi perundangan yang masih berlangsung di negara ini," katanya.


Mengulas pindaan RUU itu, beliau berkata, ia bertujuan mengelak anak pasangan warga asing berstatus pemastautin tetap dan lahir di negara ini, daripada memiliki dwi kewarganegaraan.


Ini kerana, katanya, semua anak pasangan yang tergolong dalam Kategori I itu boleh menuntut taraf kewarganegaraan asal ibu bapa mereka.
"Berdasarkan Perlembagaan sedia ada, anak pemastautin tetap (warga asing) ini (secara) automatik akan dapat kewarganegaraan dan ini akan membawa keadaan tidak seimbang," katanya.


Saifuddin berkata, jumlah pemastautin tetap Kategori I adalah tujuh kali ganda lebih besar berbanding Kategori II, iaitu kumpulan memiliki MyPR yang tidak memiliki permit masuk atau dokumen perjalanan negara asing yang juga merujuk kepada anak angkat, individu lahir sebelum merdeka dan orang yang berada di negara ini sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.


"Kerajaan memberikan komitmen penuh untuk memastikan individu di bawah kategori ini yang berjumlah sekitar 30,000 dipermudah dan diutamakan bagi urusan permohonan kewarganegaraan di bawah semua saluran.


"Pasukan kementerian sudah siap memuktamadkan garis panduan permohonan amat jelas dan telus, terutama bagi Perkara 15A dan 19(1) Perlembagaan. Penjelasan lanjut akan dibuat dalam sesi penggulungan (perbahasan RUU berkenaan), esok," katanya.


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kira-kira 10,000 daripada sekitar 30,000 pemastautin tetap Kategori II yang memohon status kewarganegaraan, setakat ini.






Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-10-2024 08:23 PM From the mobile phone | Show all posts
"Kita banyak suka ini macam...nanti kita undi ini menteri,ini kerajaan..kita mau kawen sama Malaydesh parampuan..1 hari..anak pirdana mintiri"-Abanglasia
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-11-2024 12:48 AM GMT+8 , Processed in 0.030335 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list