KUALA LUMPUR: Kos pembinaan yang tinggi dan kekangan kewangan semasa negara menyebabkan pembinaan tembok keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dan Malaysia-Indonesia tidak dapat dilaksanakan sebagaimana dirancang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa, berkata pembinaan tembok keselamatan itu sememangnya berada dalam perancangan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM), namun tidak dapat dilaksanakan.
Beliau berkata pada masa kini, melalui Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan meluluskan penaiktarafan pagar keselamatan sedia ada kepada standard yang lebih baik, iaitu tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.
"Kerajaan juga sedang merancang untuk melaksanakan kajian awalan bagi pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok, Kelantan; Pulau Sebatik, Sabah; dan laluan-laluan haram di Padang Terap, Kedah," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Dr Zaliha menjawab soalan dikemukakan Pang Hok Liong (PH-LABIS) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilakah kerajaan merancang membina tembok atau pagar lengkap di sepanjang sempadan antara Malaysia dan Thailand bagi mencegah kegiatan penyeludupan dan mencegah pemerdagangan manusia.
Ini kerana Hok Liong berkata negara kehilangan berbilion ringgit setiap tahun akibat kegiatan penyeludupan di sempadan Thailand-Malaysia.