![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241123/kch-ub231124-jw-sagah-p1.jpg)
Sagah serta tetamu jemputan lain merakamkan kenangan bersama pemenang Girls Code, hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Satu aplikasi perlu dibangunkan untuk membantu pelajar yang kehilangan pembelajaran semasa pandemik COVID-19.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn memuji aplikasi yang direka oleh Team Agape dari SMK St Anthony Sarikei yang membantu kanak-kanak dengan keperluan khas belajar dengan lebih berkesan.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Sagah berkata, pasukan itu juga berjaya memenangi Anugerah Teknologi pada 'Technovation World Summit' di Amerika Syarikat bulan lepas.
"Saya berharap ini (aplikasi) akan terus berkembang dengan lebih jauh kerana kita tidak hanya mempunyai pelajar dengan keperluan khas, tetapi juga satu lagi kumpulan yang memerlukan perhatian khas, iaitu mereka yang terlibat dalam kehilangan pembelajaran, terutamanya semasa COVID-19," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Girls Code di TEGAS Digital Village di sini, hari ini.
Sementara itu, Sagah menyeru guru-guru terus memberi galakan kepada pelajar untuk meneruskan inovasi dalam bidang teknologi, khususnya dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
"Peganglah semangat itu, walaupun orang lain mempersoalkan idea anda, anggaplah itu sebagai peluang untuk menjadi lebih baik.
"Tetap kuat, dan pastikan tindakan anda sentiasa mencerminkan nilai-nilai yang anda pegang," tegasnya.
Pada majlis itu, Fusion Angel daripada SJKC Chung Hua Krokop, Miri berjaya meraih johan bagi kategori junior (sekolah rendah), manakala TPG dari SMK Tinggi Kuching juara bagi kategori senior (sekolah menengah).
|