YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hari ini merasmikan Majlis Penyerahan Kotak Sumbangan Bencana Negeri Bagi MTL 2024/2025. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
IskandarPuteri – Kesiapsiagaan Kerajaan Negeri dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 berada pada tahap tinggi menerusi persediaan pengurusan bencana supaya dapat dikendalikan secara sistematik, lancar dan berpasukan bagi meminimakan risiko kerugian mangsa serta memudahkan gerak kerja penyaluran bantuan.
Untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan pengurusan bencana seperti banjir, ribut dan tanah runtuh, sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan Johor 2025 bagi Tabung Bencana Negeri iaitu peningkatan RM1 juta berbanding tahun ini, selain RM250,000 kepada 10 Pegawai Daerah bagi membantu rakyat ditimpa musibah.
Selain itu, Kerajaan Negeri bersetuju melantik Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) sebagai pembekal utama dan penyedia Sumbangan Bencana dengan nilaian kos sebanyak RM2 juta manakala, RM20,000 pula disalurkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada setiap Pejabat Daerah.
Manakala, Southern Volunteers (SV) bersama Johor Volunteer Forces (JVF) turut berada dalam mod siap siaga untuk digerakkan bagi melaksanakan gerak kerja kesukarelawanan ketika mahupun pasca banjir yang secara tidak langsung mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri merancang strategi berhadapan bencana.
Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor hadir merasmikan Majlis Penyerahan Kotak Sumbangan Bencana Negeri Bagi MTL 2024/2025 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.
Hadir sama, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YBhg. Hajah Shubanah Yusuf, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek Dan Kesejahteraan Rakyat) dan YB Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan).
|