KUMAR, gambar fail. FOTO NSTP
Johor Bahru: Suspek yang disyaki melarikan remaja perempuan warga China yang dilaporkan pada 26 November lalu, akan dituduh di mahkamah, esok.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, pihaknya sudah merujuk kertas siasatan membabitkan kes menculik dan melarikan remaja berusia 15 tahun itu ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
"Kita menerima arahan untuk pertuduhan ke atas suspek mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik atau melarikan dengan niat hendak mengurung secara sulit dan salah," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Kumar dilaporkan berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai dilarikan seorang lelaki warga China di Kuantan, Pahang.
Suspek berusia 22 tahun itu turut ditahan di lokasi sama mangsa diselamatkan.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa yang juga warga China berusia 48 tahun mengenai anaknya yang tidak hadir ke sekolah di Singapura dan dipercayai dilarikan individu tidak dikenali.
Hasil semakan awal mendapati mangsa dibawa masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodland, Singapura sebelum polis membuat serbuan dan berjaya menyelamatkan mangsa di Kuantan, Pahang.
Disiarkan pada: Disember 4, 2024
|