Sungai Petani: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM4,500 ke atas peniaga wanita yang mengaku bersalah memiliki 146 alat seks pelbagai jenis tanpa kebenaran pada Jun lalu.
Tertuduh Ch'ng Ling Yeen, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki pelbagai alat seks yang disimpan di sebuah premis di Taman Petani Jaya, di sini, pada 13 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau keduanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mohd Khairul Azhar Shuaib, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahazlinda Zahari.
Norfarahazlinda dalam rayuan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum ke atas anak guamnya berikutan ia adalah kesalahan pertama selain perlu menanggung dua anak berusia sembilan dan 10 tahun.
Mahkamah mengarahkan tertuduh didenda RM4,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Bahagian Penguatkuasaan KDN Putrajaya menahan seorang peniaga yang dikesan menjual dan mempromosi alat seks secara dalam talian kepada orang ramai.