Alor Setar: Masjid Jamek Raudhatul Solihin, Derang, di sini, mengalami kerugian kira-kira RM100,000 kerana mengalami kerosakan akibat banjir yang berlaku sejak Khamis lalu.
Setiausaha masjid itu, Azmi Omar, 61, berkata antara kerosakan dialami termasuk keseluruhan karpet di ruang solat yang baru dipasang tahun lalu.
Selain itu katanya, beberapa perabot antaranya seperti almari, rak sejadah, telekung dan dua penghawa dingin rosak selepas masjid itu dinaiki air sedalam kira-kira dua meter.
"Air memenuhi perkarangan masjid pada waktu tengah malam Khamis lalu, tetapi paras air masih di buku lali. Apabila mahu pulang selepas solat Subuh, air sudah hampir di pintu masjid.
"Hujan berterusan dua atau tiga hari menyebabkan air naik terlalu cepat sehingga masuk ke dalam masjid," katanya.
Azmii berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program pasca banjir bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di masjid itu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kedah Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal dan Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Sstar, Superintendan Syed Basri Syed Ali.
Azmi berkata, selepas air mulai surut, jemaah mendapati banyak kerosakan berlaku di masjid itu dan perlu dibersihkan dengan segera kerana terdapat kesan lumpur.
Menurutnya, selain itu tanah perkuburan yang menempatkan lebih 200 kubur bersebelahan masjid turut berlaku mendapan akibat banjir kali ini.
"Pihak masjid akan memaklumkan kepada anak kariah supaya datang melihat kubur ahli keluarga mereka untuk menambun semula tanah yang mendap," katanya.