Penuhi pasaran kerja industri minyak dan gas serta lain-lain yang sedang berkembang pesat
Iskandar (tengah) diberi penerangan oleh Hazli (empat kanan) tentang cara pemasangan perancah oleh peserta kursus.
BINTULU: Golongan belia terutama di kawasan pedalaman perlu merebut peluang dengan meningkatkan kemahiran diri supaya dapat memenuhi pasaran kerja dalam sektor industri minyak dan gas serta lain-lain yang sedang berkembang pesat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, permintaan untuk pekerja berkemahiran kini amat tinggi terutama dalam sektor industri minyak dan gas yang berkembang pesat di bahagian Bintulu dan Miri.
Katanya, peluang meningkatkan kemahiran ini perlu direbut supaya negeri ini tidak bergantung kepada pekerja mahir dari negara luar.
"Disebabkan itu program meningkatkan kemahiran inisiatif strategik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menyediakan latihan asas teknikal amat penting kepada belia dan penduduk sekitar penempatan Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) di kawasan Lawas hingga ke Bintulu," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Graduasi Program Peningkatan Kemahiran Perancah Tahap 1 2024 Bilik di Mesyuarat Perdana, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu, hari ini.
Katanya, program itu merangkumi kursus kemahiran asas teknikal dan keusahawanan iaitu Kursus Perancah Tahap 1, Kursus Mekanikal 'Fitter', Kursus 'Oil and Gas Safety Passport' (OGSP), Kursus Pemasaran Digital serta Pengurusan Asas Homestay dan nilai tambah yang melibatkan komuniti setempat sekitar SSGP.
"Ia bertujuan melengkapkan ilmu dalam bidang industri minyak dan gas, kemahiran teknikal dan keusahawanan," jelasnya.
Selain itu katanya, ia diharap dapat membantu masyarakat setempat daripada golongan B40 meningkatkan pendapatan isi rumah sekali gus membangunkan taraf sosioekonomi selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.
Katanya, ia merupakan asas penting Kerajaan Sarawak berkolaboratif dengan pihak swasta bagi meningkatkan pendapatan rakyat supaya dengan adanya sijil dalam kursus ini akan melayakkan keterlibatan dalam sektor pekerjaan minyak dan gas.
Beliau turut berharap peserta yang menamatkan kursus ini dapat berkongsi dengan ahli keluarga dan masyarakat setempat lain yang ingin meningkatkan kemahiran dalam sektor pekerjaan berkaitan kemahiran.
Jelasnya, PETRONAS telah bekerjasama dengan pejabat daerah dan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di kawasan Lawas, Limbang, Telang Usan, Subis, Sebauh dan Bintulu bagi mempromosi dan menggalakkan penyertaan belia dalam kursus yang disediakan.
Manakala pusat penyediaan latihan kemahiran katanya, ia melibatkan Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Yayasan Sarawak, SRC Global dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) turut membantu menyediakan tempat latihan serta pensijilan untuk peserta anjuran PETRONAS.
"Bagi penempatan pekerjaan pula, PETRONAS telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat di sektor minyak dan gas yang memerlukan pekerja dalam bidang perancah, mekanikal 'fitter' mahupun pekerja am yang memiliki sekurang-kurangnya kad OGSP bagi memasuki loji dan bekerja untuk projek mereka," katanya.
Justeru katanya, pekerjaan dalam bidang berkaitan kemahiran tidak hanya memberi pendapatan tinggi bahkan menuntut agar mereka bijak mengurus kewangan serta bersikap positif dengan tidak mencampurkannya dengan perkara-perkara negatif.
Katanya, lebih ramai penduduk tempatan digalak terlibat dalam syarikat minyak dan gas di Bintulu dan Miri dengan melalui kerjasama pihak PETRONAS bagi merealisasikan penempatan pekerjaan bagi para peserta kursus yang berjaya menamatkan latihan.
Terdahulu seramai 20 peserta kursus berjaya menamatkan latihan dalam program itu semalam dengan 13 peserta sebelumnya menamatkan kursus sama telah ditempatkan dalam sektor pekerjaan berkaitan.
Turut hadir Ketua Operasi Sarawak PETRONAS SSGP Hazli Kipli, Ketua Unit Sokongan Operasi (OSU) PETRONAS SSGP Muhammad Shamad Ahmad, Pengetua MRSM Bintulu Zuraida Zaidi, Pengarah IKM Bintulu Mohd Syukri Abdullah, Pegawai Daerah Telang Usan merangkap penceramah motivasi Ezra Uda dan wakil Pegawai Daerah Sebauh Dennis Gasing Inggu.
|