Edited by sfhzuraz at 5-12-2024 09:33 PM
Penduduk Gaza terpaksa minum air kotor, tercemar
ROSLINDA HASHIM
05 Disember 2024 05:12pm
Seorang kanak-kanak Palestin terpaksa minum air kotor kerana ketiadaan sumber air bersih di Gaza.
ALOR SETAR - Penduduk di Gaza terpaksa minum air kotor atau tercemar apabila sebahagian besar kawasan terputus bekalan air bersih disebabkan peperangan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dianggarkan 90 peratus sumber air di Gaza telah tercemar dan tidak layak untuk diminum manakala sebahagiannya musnah akibat konflik peperangan.
Menurutnya, atas rasa kemanusiaan, Mapim melancarkan kempen air bersih untuk Gaza dengan mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada orang ramai.
]
Mohd Azmi
“Pihak berkuasa pengawalan kualiti air di kawasan tersebut turut mengesahkan lebih 90 peratus air minum di Gaza tercemar.
“Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sekurang-kurangnya separuh daripada kemudahan air dan sanitasi di Gaza musnah atau rosak akibat peperangan,” katanya.
Mohd Azmi berkata, sumber air bersih di Gaza semakin kritikal disebabkan kemusnahan telaga air dan saliran akibat serangan tentera Israel yang berterusan membedil kawasan tersebut.
“Israel telah musnahkan telaga air dan merosakkan sistem pengaliran air menyebabkan air bersih terputus.
"Akibat terdesak penduduk Palestin terpaksa mencari alternatif air untuk diminum namun membahayakan kesihatan apabila minum air telaga yang mempunyai kandungan garam yang tinggi atau tercemar.
“Mereka tiada pilihan, terpaksa gunakan apa yang berbaki walaupun membahayakan kesihatan,” ujarnya.
Menurutnya, kekurangan akses kepada air bersih bukan sahaja mempengaruhi kesihatan malah boleh menyebabkan wabak penyakit dan membawa kepada kematian khususnya kanak-kanak yang lebih mudah dijangkiti penyakit.
“Kawasan yang padat dengan sistem kebersihan yang buruk sudah pasti mengundang penyakit. Bekalan air bersih sama sekali terputus dari utara hingga tengah Gaza dan menyebabkan mangsa serangan semakin parah.
“Lebih merumitkan keadaan apabila mereka tiada bekalan perubatan yang mencukupi,” jelasnya lagi.
Mohd Azmi memaklumkan, hanya terdapat satu tandas untuk digunakan oleh 480 orang di kawasan padat penduduk, menjadikan situasi semakin kritikal.
“Kita harus bantu dan lakukan sesuatu. Tiada cara lain selain menyumbang supaya kita dapat baiki semula kerosakan telaga air atau bina yang baharu.
“Misi menyediakan akses kepada bekalan air bersih dilakukan melalui tiga kaedah, iaitu penghantaran bekalan air bersih ke kawasan terjejas, membaiki infrastruktur air yang rosak atau menyediakan pendidikan tentang kebersihan dan sanitasi kepada lebih 500,000 penduduk,” jelasnya.
Menurutnya lagi, keprihatinan rakyat Malaysia amat diperlukan dalam membantu meringankan penderitaan penduduk Gaza dengan menyediakan bekalan air bersih.
“Setiap sumbangan walaupun kecil mampu membuat perubahan besar dalam kehidupan mereka,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/700669/berita/nasional/penduduk-gaza-terpaksa-minum-air-kotor-tercemar
|