Edited by sfhzuraz at 6-12-2024 01:10 PM
Kerajaan perlu perjelas kewujudan titah adendum - UMNO Kedah
NURUL HIDAYAH HAMID
06 Disember 2024 12:45pm
Shaiful Hazizy
ALOR SETAR - UMNO Kedah memohon kerajaan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa tampil serta memberi penjelasan akan kekeliruan dan kekaburan mengenai kewujudan adendum tahanan rumah bagi Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, UMNO Kedah berpandangan kegagalan kerajaan dan menteri untuk memaklum dan membuat pendirian yang jelas mampu mengganggu gugat kredibiliti kerajaan.
Beliau berkata, pada masa sama, ia dikhuatiri mampu menggugat unsur kepercayaan sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"Pengakuan anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Nizar Najib dihubungi pihak istana dan beliau sendiri diberi salinan adendum tersebut nyata mengejutkan.
"Pada masa sama, ia menolak jawapan balas Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam Dewan Rakyat yang mendakwa bahawa kewujudan adendum tersebut hanya bersifat khabar angin," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah menggesa agar misteri ini segera dirungkai dan bekas Perdana Menteri dapat diberikan haknya kembali dengan kadar segera.
Sebelum ini, media melaporkan Mohamad Nizar didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Rayuan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, dokumen tersebut diterima Nizar pada 2 Disember atas arahan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran dokumen berkenaan selain menjelaskan kandungannya menyatakan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara di rumah.
https://www.sinarharian.com.my/article/700787/berita/politik/kerajaan-perlu-perjelas-kewujudan-titah-adendum---umno-kedah
|