Che Yassin ditemukan lemas
Hamzah Osman[email protected]
ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat mengusung mayat Che Yassin yang ditemukan lemas di benteng pemecah ombak di Kuala Chenang, Langkawi. FOTO Ihsan Polis.
Langkawi: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing di benteng pemecah ombak di Kuala Chenang di sini, malam tadi, ditemukan mati lemas petang ini.
Mayat Che Yassin Che Ngah, 43, ditemukan pada 6.10 petang oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mayat ditemukan kira-kira 150 meter dari tempat mangsa dilaporkan jatuh.
"Pengecaman mayat dilakukan oleh isteri mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dalam perjalanan pulang selepas memancing hilang selepas terjatuh ke dalam laut akibat terpijak kayu jambatan reput.
Disiarkan pada: Disember 6, 2024 @ 8:44pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/12/1163403/che-yassin-ditemukan-lemas
|