Johor Bahru: Pusat Jagaan Pertubuhan Pusat Jagaan Tenang Bersama Qadar (TBQ) Amal menarik laporan polis terhadap guru sekolah yang didakwa mengasari penghuninya hingga mengakibatkan lebam.
Pengasasnya, Herman Sudil berkata, tindakan itu atas dasar ihsan dan komitmen penambahbaikan.
Katanya, TBQ Amal adalah rumah perlindungan kanak-kanak yang diiktiraf dengan sijil ISO 9001:2015 dan menjadi prosedur operasi standard (SOP) pusat itu untuk sentiasa mengutamakan kebajikan anak-anak di bawah jagaan.
Menurutnya juga, berdasarkan SOP juga setiap aduan berkaitan kecederaan fizikal yang berpunca daripada kekerasan mesti dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Sebelum membuat laporan, kami menyemak aduan secara terperinci dengan menyoal anak yang mengadu bersama saksi kejadian untuk memastikan kebenaran sebelum tindakan selanjutnya diambil.
"Semalam, satu pertemuan diadakan di balai polis antara pihak kami, guru besar, guru yang terbabit serta pihak pengurusan sekolah.
"Selepas berbincang secara menyeluruh dan mempertimbangkan kebaikan semua pihak, kami bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Herman berkata, pihak TBQ Amal memohon maaf atas kesalahfahaman yang berlaku dan berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan keprihatian dalam memastikan kebajikan anak-anak terjamin.
Katanya, semua permasalahan selesai dengan baik dan damai serta berharap tiada yang membuat spekulasi negatif ke atas mana-mana pihak.
Terdahulu tular gambar dan kisah murid berkenaan ditampar dan ditumbuk serta direntap rambut dan diseret oleh guru sekolahnya dalam kejadian di makmal komputer sekolah itu hingga mengakibatkan pipinya lebam.
|