Universiti perlu beri ruang kepada industri, teroka disiplin berteknologi baharu - PM
BERNAMA
ANWAR (tiga, kanan) melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Silicon Design @5km+ hari ini.
Georgetown: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa universiti awam khususnya di wilayah utara untuk memberi ruang yang secukupnya kepada pihak industri supaya dapat bekerjasama dalam meneroka disiplin ilmu baharu membabitkan industri berteknologi tinggi.
Anwar berkata, sinergi antara universiti dengan pihak industri dan swasta adalah penting khususnya dalam membangunkan industri semikonduktor serta ekosistem yang berkaitan, selaras dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor di rantau ini.
Beliau berkata, ia juga bagi memenuhi keperluan mendesak negara yang memerlukan jurutera berkelayakan yang mencukupi dalam industri berteknologi tinggi termasuk industri reka bentuk litar bersepadu (IC).
"Universiti harus memberi ruang sewajarnya kepada industri untuk terbabit dengan lebih agresif. Kita buat penyesuaian dari semasa ke semasa, tetapi cara terbaik untuk mendidik, melatih, serta meningkatkan dan memperbaharui kemahiran adalah dengan memastikan sinergi, kerjasama antara industri dengan institusi pendidikan.
"Penting bagi misi pendidikan memastikan hal ini berlaku dengan pantas dan bersedia untuk membuat penyesuaian," katanya pada Majlis Perasmian Penang Silicon Design @5km+ di Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Disiarkan pada: Disember 7, 2024 @ 12:07pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/12/1163530/universiti-perlu-beri-ruang-kepada-industri-teroka-disiplin-berteknologi
|