PANGLIMA Armada Barat, Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun bersama 645 Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berjaya menamatkan latihan di Kapal Diraja Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Johor, di sini, hari ini. FOTO ihsan TLDM
Johor Bahru: Seramai 645 Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menamatkan latihan di Kapal Diraja Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, di sini, hari ini.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun berkata, perbarisan tamat latihan Perajurit Muda TLDM adalah acara kemuncak yang menandakan tamatnya kursus asas tentera laut yang perlu ditempuhi selama enam bulan oleh setiap anggota lain-lain pangkat di dalam perkhidmatan TLDM.
Menurutnya, detik bersejarah yang dilakarkan pada hari ini membuktikan bahawa mereka layak untuk berkhidmat sebagai seorang anggota tentera laut yang bermaruah, taat, penuh kebanggaan dan berani seperti yang tertera di dalam nilai murni TLDM.
"Bermula dari saat ini, seluruh rakyat Malaysia meletakkan setinggi harapan dan sepenuh keyakinan kepada anda semua selaku perwira yang sedia berkorban untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara yang kita cintai ini.
"Biarpun ia satu amanah yang amat besar, namun saya yakin dengan semangat juang tinggi dan komitmen padu saudara-saudari sekalian, kamu mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut dengan baik," katanya ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM Siri 227/24 di KD Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Mohamad Azuwan berkata, keutamaan anggota adalah mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.
"Tanamkan juga semangat waja dalam diri untuk berjuang demi negara yang tercinta.
"Saya ingatkan kepada anda semua bahawa amanat yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab serta jangan sesekali kita lupa bagi menepati matlamat dan tujuan yang ditetapkan," katanya,
Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Divisyen Hulubalang yang dinobatkan selaku divisyen terbaik keseluruhan di bawah bimbingan Divisyen Komander, Bintara Muda HDI Khawadiee Izwariee Mamat.
"Ucapan tahniah juga diberikan kepada Laskar Muda Ammar Najmuddin Abdullah yang dinobatkan sebagai Perajurit Muda TLDM terbaik keseluruhan lelaki dan Laskar Muda Mel C Jane Casmil yang dinobatkan sebagai Perajurit Muda TLDM terbaik keseluruhan wanita bagi siri 227/24," katanya.
|