Seremban: Bekas penceramah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan pindaan menipu seorang lelaki dengan mengaku sebagai peguam berkelayakan.
Tertuduh, Muhammad Syafiq Stewart Abdullah, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Amran Jantan selepas pertuduhan dibacakan pada prosiding serahan dokumen.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh menyatakan bahawa dia adalah seorang peguambela dan peguamcara yang berkelayakan dan oleh itu, tertuduh telah menipu seorang lelaki dengan cara sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban, di sini, pada jam 10 pagi, 2 Jun 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum bawah Seksyen 419 Akta 574.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Asroff Kamarul memaklumkan terdapat pindaan bagi salah satu daripada tiga pertuduhan yang dibacakan sebelum ini dan minta ia dibacakan selepas dibenarkan mahkamah.
Asroff turut memberitahu mahkamah pihaknya sudah menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 1A Kanun Tatacara Jenayah kepada peguam tertuduh.
Peguam Ahmad Zahid Abu Hashim kemudian memohon tempoh antara tiga ke empat bulan untuk meneliti segala dokumen daripada pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 6 April 2025.
Media pada 28 Oktober lalu melaporkan tertuduh berdepan tiga pertuduhan menyamar sebagai peguam berkelayakan dengan menipu mangsa di Kompleks Mahkamah Seremban sejak 2021.
Mahkamah pada ketika itu membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Media pada 15 Oktober 2021 melaporkan Muhammad Syafiq Stewart pernah menjadi peguam kepada bekas Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Negeri Sembilan atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan nota penerimaan bekalan dan perkhidmatan bagi jabatan itu.
Pada 7 Jun 2023, media turut melaporkan Muhammad Syafiq Stewart mewakili bekas pengawal keselamatan atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah empat tahun lalu.
|