KPDN Johor menyita pakaian jenama tiruan di sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini. FOTO ihsan KPDN
Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 1,479 helai pakaian berjenama tiruan hasil serbuan ke empat premis di sebuah pusat beli-belah, di sini, kelmarin.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan dilakukan hasil aduan awam yang mengesyaki terdapat jualan barang tiruan di premis terbabit.
Menurutnya, hasil serbuan di empat premis terbabit menemukan barangan berjenama terkenal dipercayai tiruan.
"Tiga lelaki yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan rampasan dianggarkan berjumlah RM11,768.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019, manakala tindakan turut diambil terhadap empat premis itu di bawah Seksyen 102 (1) (c) akta sama," katanya.
Sementara itu, Lilis Saslinda berkata, pihaknya merekodkan 66 kes mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan RM320,435 pada tahun ini.
"KPDN Johor akan bekerjasama dengan pemilik cap dagang dan agensi lain dalam usaha melindungi hak pengguna serta hak intelek milik industri.
"Peniaga juga diberikan amaran supaya tidak menjual barangan tiruan kerana mereka bakal berdepan tindakan tegas," katanya.
Disiarkan pada: Disember 11, 2024
|