Johor Bahru: Pemilik rumah jagaan di Taman Mas, Kulai yang didakwa memukul kanak-kanak perempuan dengan pembaris kayu panjang seperti video tular di media sosial, direman enam hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 59 tahun itu dikeluarkan Majistret Arina Azmin Ahmad Marzuki sehingga 16 Disember selepas membenarkan permohonan polis.
Ia bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee mengesahkan reman itu.
Kelmarin, beliau dilapor berkata, menerima laporan mengenai kejadian berlaku pada 10.29 malam Ahad lalu dan siasatan mendapati kejadian berlaku di rumah jagaan swasta di Taman Mas, Kulai, membabitkan penghuni berusia 10 tahun.
Sebelum ini, dilaporkan lelaki sama yang juga penjaga pusat itu didakwa terbabit kes rogol penghuni remaja berusia 17 tahun, yang membawa kepada penahanan remannya bermula 30 November hingga semalam.
Disiarkan pada: Disember 11, 2024
|