TERTUDUH (tengah) dipenjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan amang seksual dan menunjukkan isyarat lucah terhadap pelajar. FOTO Alias Abd Rani.
Muar: "Saya mohon maaf dan menyesal atas perbuatan tidak disengajakan," demikian kata seorang pekerja kedai makan sebelum Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan ke atasnya.
Ia atas pertuduhan melakukan amang seksual serta menunjukkan isyarat lucah terhadap pelajar perempuan yang juga yatim piatu, Mei lalu.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hamdan Mohamad, 45, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15 (a) (i) akta sama.
Bapa dua anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun di sebuah kedai makan di Batu Pahat pada 6.30 petang, 28 Jun lalu
Selain itu, tertuduh juga didakwa menunjukkan isyarat lucah terhadap mangsa yang bekerja sambilan ke premis itu pada 5 petang, 22 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Disiarkan pada: Disember 11, 2024
|