Salzura menunjukkan tempat bayi ditemui dalam kotak di gerainya. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Saya ingat orang buang anak kucing, tapi badan menggigil apabila jenguk dalam kotak ada bayi di dalamnya," kata peniaga Salzura Abd Rahman, 42, yang menemui bayi perempuan, semalam.
Bayi yang cukup sifat itu ditemui atas rak meletakkan lauk pauk di gerai milik Salzura di Kawasan Perindustrian Taman Kota, Yong Peng, di sini, kira-kira 5 pagi.
Menceritakan semula kejadian, Salzura berkata, dia bersama anak lelakinya Danis Syahputra Mohamad Saipol, 17, baru tiba di gerai untuk memulakan perniagaan.
Menurutnya, dia masuk melalui pintu belakang sebelum terpandang kotak diletakkan atas rak tempat lauk pauk.
"Saya menyangka ada orang buang anak kucing, lalu cuba angkat kotak itu, tapi berat. Dalam hati saya kata, banyaknya orang buang anak kucing. Apabila saya buka kotak, saya nampak kaki terangkat.
"Saya mula menggigil dan memanggil anak untuk melihat bayi itu," katanya ketika ditemui di gerainya, hari ini.
Menurutnya, bayi itu hanya dibalut dengan kain batik selain di alas dengan tuala dalam kotak.
"Yang menghairankan, bayi itu langsung tidak menangis, tiada nota atau botol susu ditinggalkan bersama selain tali pusatnya sudah dipotong
"Saya kemudian menghubungi polis memaklumkan penemuan bayi itu bagi pemeriksaan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan penemuan bayi terbabit.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng merangkap Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon mengecam tindakan individu tidak berperikemanusiaan terbabit.
Menurutnya, individu itu tergamak bertindak sedemikian tanpa memikirkan kesan kepada bayi terbabit.
"Melahirkan dan membesarkan anak adalah tanggungjawab ibu bapa, tetapi siapakah yang begitu kejam dan tergamak sehingga memilih untuk membuang bayi," katanya.
Disiarkan pada: Disember 17, 2024
|