Pekerja kilang Suhaina Sarwan dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Suhaina Sarwan diiringi anggota polis ketika didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang pekerja kilang dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS.
Hakim Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaina Sarwan, 46, yang membuat pengakuan bersalah atas dua tuduhan berkenaan, lapor Berita Harian.
Jamil juga mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak bermula dari tarikh Suhaina ditahan pada 30 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, Suhaina didakwa memiliki artikel berkaitan kumpulan IS dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya kira-kira jam 2.20 petang pada 30 Mei lalu.
Tertuduh didakwa memiliki bahan bacaan iaitu lima buku berkaitan kumpulan IS dan perbuatan pengganas di Blok 9, Felda Lok Heng Barat, kira-kira jam 2.20 petang, 30 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Terdahulu, peguam tertuduh Sazlinidayu Kamarul Baharin memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.
“Tertuduh sebelum ini bekerja dengan pendapatan RM2,200. Sudah berkahwin dan mempunyai dua anak selain menanggung bapanya,” katanya yang menambah tertuduh juga sudah insaf.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi daripada kepentingan peribadi tertuduh.