OUYANG Yujing (tengah) bersama penerima sumbangan. FOTO Zaid Salim.
Kuala Terengganu: Republik Rakyat China menerusi Yayasan Ikram Malaysia menyumbang RM50,000 untuk membantu mangsa banjir di daerah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram Malaysia, Zaharuddin Saidon, berkata sumbangan itu diberikan dalam bentuk barangan keperluan seperti toto, bantal, selimut dan tuala kepada 500 mangsa banjir di daerah ini.
"Sokongan berterusan China kepada Yayasan Ikram Malaysia mencerminkan solidariti dan hubungan erat antara rakyat Malaysia dan negara itu khususnya dalam menghadapi cabaran kemanusiaan seperti bencana banjir.
"Bantuan kepada mangsa banjir adalah program julung kali dianjurkan Yayasan Ikram Malaysia bersama pihak kedutaan di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa, di sini, hari ini.
Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Presiden Yayasan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin.
Zaharuddin berkata, sebelum yayasan bekerjasama mengedarkan kotak kurma kepada institusi di bawah Jabatan Penjara Malaysia termasuk Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh sepanjang Ramadan.
Katanya, kedutaan turut menyumbang topeng muka dan beras ketika penularan wabak Covid-19 dan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Benus, Pahang, pada 2022.