|
Oleh Azhar Shahrulnizam
Januari 15, 2025
[email protected]
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau di sekitar Jalan Masjid India selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid India baru-baru ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf kawasan gerai penjaja sekitar Jalan Masjid India di ibu kota ini secara berfasa sebagai usaha berterusan meningkatkan keindahan, kebersihan dan daya tarikan ke kawasan itu.
DBKL dalam kenyataannya berkata, naik taraf ini akan dilaksanakan melalui program Lestari Niaga secara berfasa untuk memastikan pelaksanaannya tidak mengganggu aktiviti perniagaan sedia ada di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.
"Di kawasan Jalan Masjid India, ada beberapa kategori lokasi perniagaan, antaranya adalah pusat penjaja berbumbung seperti di Jalan Melayu, Medan Bunus, Segi 3 Bunus serta ruang tepi jalan di sekitar kawasan Masjid India.
"Antara projek utama yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah penyusunan semula peniaga di Jalan Melayu serta penyediaan gerai baharu yang lebih sistematik untuk para penjaja di lokasi terbabit.
"Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada penyediaan lokasi perniagaan sementara untuk para peniaga yang terbabit bagi memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka semasa kerja-kerja naik taraf dijalankan," katanya.
DBKL berkata, selepas kerja naik taraf itu selesai, kawasan gerai penjaja di sekitar Jalan Melayu dan Jalan Masjid India akan tampil dengan wajah baharu yang lebih menarik, bersih, dan teratur.
"Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan keindahan ruang bandar, menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong, serta memberi manfaat kepada para peniaga dan komuniti setempat.
"DBKL akan terus memantau pelaksanaan projek ini dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan semua pihak yang terbabit bagi memastikan matlamat pembangunan ini tercapai," katanya.
Terdahulu BH melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi DBKL meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di Jalan Masjid India.
Anwar berkata, deretan kedai dan gerai termasuk yang telah bertapak sekian lama di kawasan berkenaan adalah kawasan tarikan utama pelancong di ibu kota yang perlu diambil perhatian.
"Ada kedai yang rosak, ada yang teruk (keadaannya). Saya minta DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan lihat dan segerakan (baik pulih). Ini kawasan tumpuan ramai.
"Ini boleh dilakukan dan diselesaikan menggunakan kaedah 'fast track' bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan pada masa yang sama, membantu peniaga dan penjaja kecil memajukan perniagaan mereka," katanya selepas melakukan tinjauan di sekitar Jalan Masjid India.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|