Lagos: Satu rempuhan di sebuah pesta ria sekolah di bandar Ibadan, barat daya Nigeria Rabu lalu, mengorbankan 35 kanak-kanak dan mencederakan enam mangsa lain.
Jurucakap Polis Pusat Negeri Oyo, Adewale Osifeso berkata, kanak-kanak yang cedera sedang menerima rawatan perubatan berikutan insiden itu, yang berlaku di bandar ketiga terbesar di Nigeria.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Negeri sudah membuka kertas siasatan, tambah Osifeso.
"Lapan orang ditahan kerana pelbagai pembabitan mereka.
"Antara yang ditahan ialah penaja utama acara di Sekolah Menengah Islam Basorun itu, yang dianjurkan Yayasan Wings dan radio Agidigbo FM," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Presiden Nigeria Bola Tinubu dalam satu kenyataan semalam menzahirkan kesedihan mendalam atas kejadian tragis itu.
Beliau mengucapkan salam takziah kepada penduduk tempatan, pihak berkuasa negeri dan keluarga yang kehilangan anak tersayang.
"Saya gesa kerajaan negeri Oyo untuk mengambil setiap langkah yang perlu untuk mengelakkan tragedi seperti itu daripada berulang.
"Antara tindakan penting ialah semakan menyeluruh terhadap semua langkah keselamatan acara awam, penguatkuasaan ketat peraturan keselamatan dan audit keselamatan tetap tempat acara," katanya.
Sementara itu, Gabenor Negeri Oyo, Seyi Makinde juga menyampaikan ucapan takziah untuk mangsa pada laman X pada Rabu.
"Hati kami kekal bersama keluarga dan orang tersayang yang terkesan akibat tragedi ini. Semoga roh arwah tenang di sana.
"Kami bersimpati dengan ibu bapa yang kegembiraan mereka tiba-tiba bertukar menjadi duka akibat kematian ini," katanya.
Nigeria menyaksikan beberapa rempuhan maut dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Mac lalu, dua pelajar maut dan 23 cedera selepas dirempuh ketika ribuan berkumpul untuk mendapatkan beg beras percuma yang diserahkan pihak berkuasa tempatan di Universiti Negeri Nasarawa, di tengah Nigeria.
Pada bulan sama, satu lagi rempuhan membunuh empat wanita yang menunggu di luar pejabat seorang ahli perniagaan kaya di bandar utara Bauchi untuk hadiah wang tunai 5,000 naira (kira-kira RM13.76) bagi membantu membayar makanan semasa bulan suci Ramadan.
Saksi berkata, orang ramai terdesak untuk mendapatkan wang itu, menyebabkan rempuhan, ketika Nigeria bergelut dengan krisis ekonomi terburuk dalam satu generasi.
|