![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250210/kch-ub100225-hh-remand-p1copy.jpg)
Suspek keluar dari kamar Mahkamah Majistret hari ini selesai prosiding reman.
KUCHING: Dua ahli perniagaan yang direman minggu lalu bagi membantu siasatan kes rasuah memonopoli kesemua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di dua daerah di Sarawak, dibebaskan hari ini.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan seorang daripada suspek untuk dibebaskan dengan jaminan RM50,000 berserta dua penjamin tempatan. Sementara seorang lagi lelaki diperintah untuk dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan.
Terdahulu, dua individu terbabit antara yang ditahan reman selama lima hari bermula 5 Februari 2025 yang berakhir semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Difahamkan, menurut sumber, seorang lagi ahli perniagaan lelaki dan seorang wanita warganegara Vietnam yang turut ditahan reman pada tarikh sama telah dibebaskan lebih awal, masing-masing dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan.
Media terdahulu melaporkan, empat individu terbabit antara yang ditahan oleh SPRM di beberapa lokasi di sekitar Sarawak dalam satu operasi khas yang dijalankan pada 4 Februari lalu.
Menurut laporan juga, siasatan awal mendapati perbuatan itu dilakukan sejak 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisen hingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.
Dalam operasi berkenaan katanya, SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.
|