![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250211/kks-ub110225-ysh-kinabalu1.jpeg)
PENGHARGAAN MEDIA: Saat (kanan) dan Buvil bersama sijil penghargaan untuk Kinabalu Media yang diterima, pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Portal berita, Kinabalu Media, kendalian Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS) diiktiraf oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada majlis Malam Apresiasi Media di sini semalam.
Pada majlis itu, KOPEKS menerima sijil penghargaan daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Ia diterima oleh Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr Hj Saat Hj Awang Damit. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui.
Pada majlis itu, KOPEKS turut menyumbang sebuah televisyen pintar 65 inci sebagai antara hadiah utama cabutan bertuah. Ia dimenangi oleh seorang petugas media dari sebuah stesen tv tempatan.
Lebih 150 pengamal media di Sabah menghadiri majlis berkenaan.
Sementara itu, Saat ketika ditemui pada majlis itu menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada KUSKOP khususnya menterinya (Ewon) atas pengiktirafan yang diberikan kepada Kinabalu Media.
"Kinabalu Media merupakan portal berita kendalian KOPEKS yang diwujudkan bagi membantu liputan berita-berita semasa berkaitan kerajaan," katanya, sambil menyatakan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan.
Menurutnya, Kinabalu Media sudah bersedia untuk menjadi platform baharu penyampaian maklumat dan informasi rasmi kerajaan, sesuai dengan slogannya sebagai `media rakyat' yang bebas, telus dan berintegriti.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Kadamaian menyatakan penghargaan istimewa kepada rakan-rakan media yang banyak membantu dari segi liputan.
Beliau mengakui media berperanan penting dalam mengongsikan liputan dasar dan inisiatif KUSKOP serta agensi-agensi iaitu Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Institut Keusahawanan Negara, PERNAS, UDA Holdings, Pusat Khidmat Kontraktor, Yayasan Bank Rakyat dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia.
Ewon turut berharap media dapat berkongsi kisah-kisah kejayaan dan pencapaian usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi negara.
"Ini penting supaya ia boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada rakyat kita untuk menceburi sektor keusahawanan dan koperasi," katanya.
Dalam ucapannya itu, beliau turut berkongsi mengenai fokus tambahan kepada keperluan sektor keusahawanan dan koperasi di Sabah dan Sarawak di bawah ‘Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara’ oleh KUSKOP.
BERTUAH: Saat (kanan) dan Buvil (kiri) menyampaikan hadiah set televisyen pintar yang disumbangkan KOPEKS kepada penerimanya pada majlis itu.
Ia antara lain memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang bersesuaian dengan keperluan di wilayah ini serta pembukaan pejabat agensi dan cawangan yang lebih banyak di sini.
"Saya doakan semua warga media diberikan kesihatan, kesejahteraan dan semua yang baik-baik sepanjang melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja masing-masing," katanya.
|