
DARELL
KOTA KINABALU: Pelaksanaan caj tambahan berdasarkan saiz premis oleh Majlis Perbandaran Penampang (MPP) baru-baru ini dilihat akan meningkatkan kos peniaga di daerah ini.
Dalam kenyataan bersama Timbalan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Darell Leiking dan Pembantunya, Yong Tain Vui, mereka menjelaskan caj berkenaan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemilik perniagaan tempatan.
Katanya, maklum balas daripada pihak industri menunjukkan bahawa perniagaan dengan premis berkeluasan sekitar 1,650 kaki persegi kini dikenakan caj tambahan sebanyak RM300.
“Apabila digabungkan dengan yuran lain, jumlah keseluruhan untuk pembaharuan lesen telah meningkat kepada RM365 setahun dan ia satu beban kewangan tambahan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Caj tambahan ini hanya akan meningkatkan kos menjalankan perniagaan yang mungkin membawa kesan negatif kepada ekonomi tempatan,” katanya.
Menurutnya, banyak perniagaan kini masih dalam proses pemulihan daripada bencana banjir besar di Penampang yang menyebabkan kerosakan teruk harta benda dan infrastruktur.
“Kesan buruk banjir, ditambah dengan isu logistik yang masih berterusan di negeri ini, telah memberi kesan besar kepada pendapatan perniagaan.
“Pihak berkuasa seharusnya tidak menambah beban ke atas pemilik perniagaan pada masa yang mencabar ini,” katanya.

YONG
Katanya, Penampang merupakan pusat pelbagai jenis perniagaan, daripada industri ringan hingga gerai makanan, restoran, dan perdagangan.
“Ia memainkan peranan penting dalam ekonomi Sabah, justeru penting bagi kerajaan tempatan melaksanakan dasar yang menggalakkan pertumbuhan perniagaan serta menarik pelaburan baharu.
“Tanpa sokongan yang sewajarnya, terdapat risiko bahawa perniagaan akan berpindah ke kawasan lain, yang akhirnya memberi kesan negatif kepada ekonomi Penampang,” katanya.
|