
ALBUM: Pengamal media yang menerima penghargaan merakamkan gambar kenangan bersama Arifin sempena majlis itu.
KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (KSTI) meletakkan fokus terhadap penubuhan Kecerdasan Buatan (AI) serta memperkasakan bahasa Inggeris, kata Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Mengulas lanjut, Arifin yang juga Exco Pendidikan Dan Exco Agama berkata perkara itu akan diperincikan oleh Setiausaha Tetap kementerian berdasarkan acuan Sabah.
Disamping itu, KSTI juga akan memperkasakan lagi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) termasuk memperhebatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Demikian juga dengan usaha-usaha untuk memperkasa 'connectivity' kita, itu KSTI. Kemudian saya juga minta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk melihat kebajikan staf bagi meningkatkan keberkesanan, perkhidmatan melalui digital.
"Saya juga minta MUIS untuk fokus berkenaan halal hub dan bidang-bidang yang lain," katanya semasa ditemui pemberita selepas Majlis Amanat beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
AMANAT: Arifin sebelum menyampaikan amanat beliau sempena majlis itu yang diadakan di SICC.
Ketika ditanya mengenai lokasi Pusat AI, Arifin memberitahu bagi peringkat awal, KSTI akan memeterai persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dahulu dan setelah itu baru tubuhkan Majlis AI Negeri Sabah.
Dalam perkembangan lain, Arifin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada KSTI serta jabatan dan agensi dibawah kementeriannya atas pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun 2024.
Beliau berharap segala pencapaian itu bukan sahaja dipertahankan dan diteruskan pada tahun ini malah dipertingkatkan lagi bagi mencapai kecemerlangan yang lebih besar.
Pada majlis itu, Arifin berkesempatan menyampaikan komputer riba kepada 30 penerima daripada beberapa universiti dan kolej di Sabah menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) manakala 30 pengamal media menerima sijil penghargaan atas dedikasi mereka dalam melaporkan berita-berita tentang KSTI sepanjang 2024.
Beliau turut menyerahkan mok cek berjumlah RM3 juta untuk 1,500 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sabah menerusi Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) dan RM4.5 juta untuk 1,500 buah sekolah di Sabah bagi melaksanakan sebarang kegiatan dan aktiviti sekolah menerusi program Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES).
|