![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250211/kks-ub110225-ysh-hajijiproaktif1.jpg)
MESYUARAT: Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
KOTA KINABALU : Semua penjawat awam di Sabah diminta untuk lebih proaktif dan peka terhadap keperluan rakyat selain mengambil perhatian terhadap isu-isu melibatkan kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, semua projek yang diluluskan untuk manfaat rakyat di negeri ini mesti dilaksanakan secepat mungkin. “Saya mahu anda semua lebih proaktif dan peka terhadap keperluan rakyat.
"Penjawat awam juga perlu menghapuskan birokrasi bagi memudahkan proses menyelesaikan urusan terutamanya dalam menyelesaikan isu infrastruktur dan kemudahan asas seperti air dan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mesyuarat bersama Setiausaha Tetap, Ketua Jabatan, Pegawai Daerah dan ketua-ketua majlis tempatan di Menara Kinabalu baru-baru ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan strategi pembangunan untuk manfaat rakyat dan telah mencapai banyak kejayaan.
Katanya, ia termasuklah dalam membawa hasil negeri kepada RM7 bilion tahun lalu melalui inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, inisiatif mesra pelaburan telah menarik pelaburan ke Sabah dan Taman Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah diduduki 100 peratus dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hampir penuh diduduki, adalah bukti kepada kejayaan ini.
“Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas bermakna Sabah telah mendapat manfaat daripada industri minyak dan gas, sementara pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang berbincang untuk Sabah mendapatkan lebih banyak bahagian dan manfaat.
“Ini tidak pernah dicapai sebelum ini, dan momentum ini mesti diteruskan dengan sokongan dan usaha semua,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, kabinet negeri juga telah meluluskan pengambilan lebih banyak profesional, terutamanya jurutera yang diperlukan di Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air.
Beliau berkata jawatan-jawatan itu sedang dalam proses diisi di kedua-dua jabatan untuk memastikan kecekapan kerja.
“Dengan pengambilan kakitangan ini, diharapkan masalah seperti krisis air, antara lain, dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau juga meminta laporan lengkap dan segera daripada Jabatan Air mengenai kekurangan bekalan air di Sandakan, kerana hanya satu daripada tiga loji rawatan air yang beroperasi.
“Syarikat konsesi mesti memenuhi tanggungjawabnya sebagai sebahagian daripada kontrak untuk membekalkan air kepada pengguna di daerah itu atau menghadapi tindakan,” katanya.
|