![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250212/79d8568d-a5a3-4322-898a-b11ba40760e8.jpeg)
__alt__
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan di salah satu daerah negeri ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM11,000.
Menurut sumber, rasuah yang diterima daripada sebuah syarikat itu adalah sebagai dorongan agar suspek tidak mengambil tindakan terhadap salah sebuah lori milik syarikat yang melakukan kesalahan jalan raya.
“Suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan terbabit dari Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Suspek juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tambahnya, suspek yang ditahan selama 24 jam itu bagaimanapun dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
|