CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9087|Reply: 0

[Sabah] Syarikat konsesi perlu tingkatkan penyelenggaraan jalan raya Sabah

[Copy link]
Post time 12-2-2025 10:58 AM | Show all posts |Read mode


JORDAN

KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda STAR Sabah Jordan Jude Ellron, menggesa syarikat konsesi jalan raya di seluruh Sabah untuk meningkatkan tahap penyelenggaraan jalan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terjamin, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Nabawan menegaskan bahawa keadaan jalan raya di kebanyakkan kawasan di Sabah, sama ada di bandar mahupun luar bandar, semakin membimbangkan disebabkan kurangnya penyelenggaraan berkala.

"Jalan yang berlubang, tidak rata dan mengalami kerosakan berpanjangan bukan sahaja menyukarkan pengguna tetapi turut meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya kepada penunggang motosikal dan kenderaan kecil," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, keadaan itu semakin buruk akibat perubahan cuaca yang tidak menentu, termasuk hujan lebat dan banjir yang sering melanda negeri ini.

Katanya, keadaan menyebabkan air bertakung di atas jalan serta hakisan tanah mengakibatkan banyak jalan berlubang dan permukaannya semakin rosak.

"Jika tidak diselenggara dengan segera, kerosakan ini boleh menjadi lebih serius dan membahayakan pengguna jalan raya," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kemalangan jalan raya sering berpunca daripada pemandu yang cuba mengelak atau melanggar lubang di tengah jalan.

“Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan kenderaan tetapi juga mengakibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya dan membawa kepada kehilangan nyawa.

"Insiden sebegini boleh dielakkan sekiranya penyelenggaraan dilakukan mengikut jadual dan syarikat konsesi melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja dapat mengelakkan kematian, tetapi juga mengelak syarikat konsesi daripada berdepan dengan tindakan undang-undang akibat kecuaian mereka dalam penyelenggaraan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, aduan mengenai jalan rosak di pelbagai kawasan di Sabah sering diterima, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.

“Malangnya, wakil-wakil rakyat sering dipersalahkan, sedangkan tanggungjawab utama menyelenggara jalan ini terletak dalam tanggungjawab syarikat konsesi yang diamanahkan oleh kerajaan negeri.

“Mereka sepatutnya menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan bukannya membiarkan jalan dalam keadaan teruk,” katanya.

Oleh itu, beliau mendesak agar syarikat konsesi yang bertanggungjawab mematuhi jadual penyelenggaraan yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan.

Menurutnya, kegagalan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala hanya akan memburukkan keadaan dan nama kerajaan yang memerintah hari ini.

Selain itu, Jordan juga menggesa agar papan tanda maklumat kontraktor dipasang di lokasi strategik supaya orang ramai dapat mengetahui pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan di kawasan mereka.

"Ini bukan sahaja dapat meningkatkan ketelusan dalam pengurusan penyelenggaraan jalan tetapi juga membolehkan pengguna melaporkan sebarang kelewatan atau ketidaksempurnaan kerja penyelenggaraan secara terus kepada pihak berkaitan.

“Saya juga mencadangkan agar syarikat konsesi menyediakan talian WhatsApp khas bagi membolehkan pengguna jalan raya membuat aduan segera sekiranya berlaku kerosakan atau sebarang masalah berkaitan jalan.

“Dengan adanya saluran komunikasi yang lebih cekap, tindakan penyelenggaraan boleh dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.

Jordan berkata, isu jalan raya bukan perkara kecil, sebaliknya keperluan asas yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkaitan.

Beliau berharap gesaan ini diambil tindakan segera demi memastikan pengguna jalan raya di Sabah, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, dapat menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa tanpa perlu bimbang terhadap risiko jalan rosak, terutamanya ketika musim hujan dan banjir yang semakin kerap berlaku.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2025 12:04 PM GMT+8 , Processed in 0.375637 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list