Batu Pahat: Lelaki yang menjadi orang suruhan along direman tiga hari bagi membantu siasatan selepas disyaki membaling cat ke arah dua rumah di Taman Puteri Jaya, di sini, bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun yang juga penganggur dikeluarkan Majistret Arun Noval Dass bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan, suspek yang juga bapa kepada dua anak dipercayai diarahkan oleh along supaya melakukan perbuatan itu ke atas rumah yang disasarkan.
Suspek bertindak demikian kerana didakwa gagal melunaskan pinjaman wang dengan along malah dibayar RM400 untuk setiap rumah yang disimbah dengan cat merah.
Pemeriksaan polis terhadap suspek mendapati, lelaki itu mempunyai sembilan kes di seluruh negeri ini antaranya empat di Pontian, Batu Pahat dan Johor Bahru utara masing-masing dua kes, manakala satu di Iskandar Puteri.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang tukang masak dipenjara 15 bulan selepas mengaku bersalah menyimbah cat ke arah rumah milik wanita berusia 28 tahun di Yong Peng, bulan lalu.
Tertuduh, Ang Chun Heng, 40, yang sedang dihukum penjara atas kesalahan sama diperintah oleh mahkamah menjalani hukuman itu berkuat kuasa pada hari sabitan, hari ini.
Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengadu selepas mendapati rumah mereka disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali.
Siasatan polis membawa penahanan tertuduh dan pada masa sama, turut ditemui tin cat serta nota ugutan yang ditampal di rumah mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
|