
Loke berucap pada majlis tersebut. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Hubungan antara kerajaan persekutuan dan Sarawak berada pada tahap sangat baik dalam semua isu termasuk minyak dan gas pada masa ini, dan Anthony Loke yakin ia dapat diselesaikan secara harmoni menerusi pendekatan menang-menang.
Menteri Pengangkutan itu berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali memberikan maklumat dan penjelasan mengenai isu minyak dan gas terbabit dalam mesyuarat Kabinet.
Menurutnya, Jemaah Menteri secara konsensus bersetuju untuk menyelesaikan isu antara persekutuan dan Sarawak ini tanpa ada mana-mana pihak yang kehilangan hak masing-masing.
“Ini prinsip yang memandu hubungan antara Putrajaya dan Kuching dan saya yakin kerjasama ini akan membawa hasil yang baik untuk kemajuan Sarawak dan Malaysia,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selesai menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) di sebuah hitel terkemuka di sini, hari ini.
Beliau turut memberi bayangan bahawa perjanjian antara PETROS dan PETRONAS akan diumumkan tidak lama lagi, sambil menekankan kebijaksanaan Perdana Menteri dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menguruskan isu ini demi manfaat semua pihak.
“Saya yakin apabila diumumkan nanti, hasilnya akan memberi manfaat kepada semua pihak, dan ini sudah tentu mengambil kira prinsip menang-menang. Itu komitmen kerajaan persekutuan,” katanya.
Sementara itu, berhubung isu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, Loke memaklumkan ia akan diselesaikan tidak lama lagi, dengan perbincangan sudah dijalankan dan hanya proses penilaian yang masih perlu diselesaikan sebelum langkah seterusnya dibincangkan.
“Saya yakin dengan semangat kerjasama ini, semua isu dapat diselesaikan secara satu persatu. Isu Pelabuhan Bintulu boleh diselesaikan, sebagaimana isu penerbangan yang telah berjaya diselesaikan. Masih banyak lagi yang boleh diselesaikan demi kemajuan bersama,” ujarnya.
Tambahnya, rundingan tersebut sedang diuruskan oleh Kementerian Pengangkutan bersama pemimpin tertinggi Sarawak dan melibatkan jawatankuasa bersama di peringkat tertinggi serta jawatankuasa teknikal.
“Mereka mengemukakan laporan kepada kita dan kita membuat penilaian. Apa sahaja yang belum selesai akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Premier, kedua-duanya bijaksana dalam menyelesaikan segala isu,” katanya.
|