Edited by Vellfire at 16-2-2025 10:23 AM

SIBU: Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah mengumumkan satu inisiatif penting bagi melindungi golongan warga emas di daerah ini daripada risiko influenza.
Katanya, Program Imunisasi Influenza secara percuma dan sukarela ditawarkan kepada warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang menghidap penyakit-penyakit tertentu, bagi memastikan mereka mendapat perlindungan kesihatan yang lebih baik dalam menghadapi musim influenza.
"Program ini terbuka kepada mereka yang mempunyai salah satu daripada penyakit berikut: kencing manis, penyakit saluran pernafasan kronik, penyakit kardiovaskular, obesiti, hipertensi, kolesterol tinggi, dan penyakit buah pinggang.
"Langkah ini diambil bagi memberi perlindungan tambahan kepada golongan berisiko tinggi yang lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan komplikasi akibat influenza," katanya dalam satu kenyataan di media sosial rasminya, hari ini.
Untuk memudahkan proses pendaftaran, jelasnya, warga emas yang layak boleh membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera mulai 18 Februari 2025.
Program ini, katanya akan dijalankan di beberapa klinik kesihatan terpilih di daerah Sibu, Kanowit, dan Selangau.
"Bagi daerah Sibu, klinik-klinik yang terlibat termasuk Klinik Kesihatan Jalan Oya dan Klinik Kesihatan Jalan Lanang pada setiap hari Selasa dan Khamis, serta Klinik Kesihatan Sibu Jaya yang beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat.
"Manakala di daerah Kanowit, Klinik Kesihatan Machan menawarkan imunisasi setiap Selasa dan Rabu, dan di daerah Selangau, Klinik Kesihatan Selangau pada setiap hari Jumaat.
"Pendaftaran janji temu hanya boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera. Ini adalah bagi memastikan kelancaran dan pematuhan kepada SOP kesihatan yang ditetapkan," jelasnya.
Menurutnya lagi, para penerima vaksin diminta hadir mengikut tarikh janji temu yang telah ditetapkan dan hanya mereka yang mempunyai janji temu yang sah melalui MySejahtera akan dibenarkan menerima vaksinasi.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa program ini adalah percuma dan terbuka kepada warga emas yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan dapat memberikan satu lapisan perlindungan tambahan kepada golongan warga emas, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi serius akibat jangkitan influenza, terutama di kalangan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik," tambahnya.
|