

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa dari lori yang melanggar benteng pasir dalam kemalangan di Jalan Miri Marudi pada Jumaat. - Gambar JBPM
MIRI: Seorang kelindan maut, manakala pemandu lori cedera parah selepas lori dinaiki mereka hilang kawalan dalam kemalangan di Jalan Miri-Marudi berdekatan Ladang BLD pada Jumaat.
Kenyataan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi memberitahu, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada jam 11.45 pagi.
Kelindan, 32, dari Taman Tunku maut di tempat kejadian, manakala pemandu, 48, dari Long Naah telah dikejarkan ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori terbabit dalam perjalanan dari Miri menuju ke Marudi.
Setibanya di lokasi kejadian, semasa bergerak turun di kawasan bukit, pemandu lori terbabit dipercayai mengelak sebuah kenderaan yang datang dari arah Marudi menuju ke Miri lalu mengakibatkannya hilang kawalan sebelum melanggar benteng pasir dan terbabas ke anak sungai berhampiran.
Impak kemalangan menyebabkan lori terbabit rosak teruk di bahagian hadapan.
Kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Keadaan lori yang hilang kawalan terbabas ke benteng pasir dan anak sungai dalam kemalangan di Jalan Miri Marudi pada Jumaat. - Gambar JBPM
|